Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Terengganu tak benarkan wanita sertai gimnastik
Diterbitkan:  Oct 4, 2023 5:47 PM
Dikemaskini: 11:09 AM

Kerajaan Terengganu mengakui garis panduan pemakaian sukan patuh syariah melibatkan atlet Muslim tidak dapat dikuatkuasakan sepenuhnya disebabkan kekangan melibatkan peraturan sukan antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri Hishamuddin Abdul Karim berkata kerajaan negeri telah melancarkan Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri pada Mac 2020, yang mengandungi etika serta standard pakaian melibatkan atlet dan jurulatih beragama Islam.

Hishamuddin Abdul Karim

Menurutnya, antara garis panduan yang ditetapkan ialah atlet beragama Islam hendaklah berpakaian yang ditetapkan syarak seperti menutup aurat, sopan dan bersesuaian dengan sukan yang diceburi.

“Bagi atlet bukan Islam pula mereka disyorkan berpakaian sopan dengan maksud tidak terlalu ketat, singkat atau jarang,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kuala Terengganu hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr Tengku Muhamad Fakhruddin Tengku Md Fauzi (PAS-Sura) berhubung standard pemakaian menutup aurat yang ditetapkan kerajaan negeri pada setiap acara sukan di dalam negeri itu.

Hishamuddin memberitahu kerajaan negeri serius dalam melaksanakan dasar sukan patuh syariah termasuklah pemakaian menutup aurat dalam ruang lingkup kuasa yang ada.

Bagaimanapun, ketika ditemui pemberita di luar dewan beliau berkata konsep patuh syariah itu terpaksa diubah suai kepada pendekatan "mesra syariah" yang lebih lembut dan bersifat mendidik.

"Kita memang membawa penerapan dasar atlet kita patuh syariah. Tetapi kita ada baiki sikit patuh syariah itu sebab memang tak boleh nak patuh sepenuhnya.

"Jadi kita bawa pendekatan mesra syariah sebagai langkah mula untuk lakukan perubahan dan proses ini perlu kepada kita didik, beri kesedaran kepada atlet berbanding langkah penguatkuasaan tegas," katanya.

Menurutnya lagi, bagi membuktikan kesungguhan kerajaan negeri ke arah pemakaian yang patuh syariah dalam kalangan atlet, pihaknya telah melibatkan mufti dalam Jawatankuasa Pengurus Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) yang memantau secara langsung serta memberi nasihat berkaitan hal berkenaan.

Selain itu, beliau berkata di MSNT seorang kakitangan khusus iaitu pegawai agama ditempatkan yang berperanan sebagai jurulatih kerohanian untuk mengendalikan pelbagai aktiviti keagamaan untuk atlet.

"Namun setakat ini, kita tetap dengan keputusan tak benarkan atlet wanita sertai gimnastik kerana pakaiannya ketat dan mempamerkan bentuk badan.

“Kita harap semua pihak menghormati pendirian kami. Kami bukan benci sukan itu tetapi untuk membiarkan atlet wanita keluar (mengambil bahagian) dalam keadaan begitu adalah tidak sesuai," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS