Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Prestasi Tok Gajah beransur pulih
Diterbitkan:  Aug 2, 2022 3:48 PM
Dikemaskini: 7:48 AM

Kejayaan menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC 2-0 pada saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan, semalam, merupakan kemenangan kedua berturut-turut yang berjaya dilakar Sri Pahang FC sekali gus menunjukkan prestasi pasukan ini semakin beransur meningkat.

Ketua Jurulatih Interimnya Datuk Dollah Salleh berkata kerjasama antara pemain juga dilihat semakin baik, namun beliau akui masih terdapat beberapa kesilapan kecil yang perlu diperbaiki bagi mencapai prestasi lebih baik pada perlawanan seterusnya.

"Malam ini, pemain bermain dengan baik pada separuh masa pertama sebelum rentak kami berubah kerana terikut-ikut dengan rentak lawan yang bermain secara perlahan. Bagaimanapun hal itu dapat diatasi dengan disiplin pemain untuk mencatat kejayaan," katanya kepada pemberita selepas perlawanan tamat.

Pada perlawanan itu, dua gol Tok Gajah dijaringkan penyerang muda Andres Steven Rodriguez pada minit ke-31 disusuli gol kemenangan pada minit ke-67.

Sementara itu, pengendali KDA FC Aidil Sharin Sahak mengakui ketiadaan beberapa tonggak utama pasukan akibat kecederaan mempengaruhi persembahan Helang Merah pada perlawanan itu yang merupakan kekalahan kedua berturut-turut selepas tewas 1-2 kepada Kuala Lumpur City FC, Rabu lepas.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS