Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Harimau Malaya bingkas bangkit tewaskan Garuda 3-2
Diterbitkan:  Sep 5, 2019 11:10 PM
Dikemaskini: 3:28 PM

Malaysia bangkit daripada ketinggalan dua kali dan berjaya menewaskan Indonesia 3-2 pada aksi sulung pusingan kedua Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta, malam ini.

Kemenangan itu sekali gus menamatkan kemarau kemenangan selama 15 tahun di stadium keramat skuad Garuda itu sejak 2004.

Mohamadou Sumareh muncul wira apabila meledak gol kemenangan pada masa kecederaan (minit ke-90+7) untuk memberikan tiga mata berharga kepada skuad Harimau Malaya.

Sumareh turut menjaringkan gol pertama Malaysia pada minit ke-37, manakala gol kedua melalui Muhammad Syafiq Ahmad pada minit ke-66, sementara gol Indonesia menerusi Alberto Goncalves pada minit ke-12 dan 39.

Kali terakhir skuad Harimau Malaya meraih kemenangan di gelanggang itu ialah pada 28 Dis 2004 apabila menumpaskan Indonesia 2-1 pada peringkat separuh akhir Piala AFF.

Selain Indonesia, Malaysia turut diundi bersama Vietnam, Thailand dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam Kumpulan G.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS