Rekod kebangsaan acara larian 200 meter yang dicatat oleh Tan Sri Dr M Jegathesan pada 1968 akhirnya berjaya dileburkan atlet pecut negara, Khairul Hafiz Jantan, sebentar tadi.
Kejayaan anak kelahiran Melaka itu dilakukan dalam aksi akhir acara itu di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia ke-94, di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Khairul Hafiz mencatat larian 20.90 saat - 0.02 saat lebih pantas berbanding rekod kebangsaan sebelum ini, lapor Bernama malam ini.
Dr Jegathesan membuat catatan rekod kebangsaan pada temasya Olimpik Mexico 49 tahun silam.
Mewakili Melaka, Khairul Hafiz menewaskan seteru utamanya dari Sarawak, Jonathan Nyepa, yang meraih tempat kedua dengan catatan 21.29s.
Saksikan detik bersejarah sukan negara.. kejayaan Khairul Hafiz Jantan meleburkan rekod 49 tahun milik TS M. Jegathesan acara 200m lelaki. 🏅 pic.twitter.com/ZgjRrL4qJx
— Man SEAGames™ (@ManOlimpik) 18 July 2017
Tempat ketiga acara itu pula menjadi milik atlet dari Perak, Arawinn Gunasegaran dengan catatan masa 21.31s.
Khairul sebelum ini memecahkan rekod kebangsaan 100m milik Watson Nyambek (10.30s) selepas mencatatkan 10.18s di Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2016, Julai lalu.
Bercakap kepada pemberita selepas acara itu, Khairul berkata beliau seterusnya akan fokus untuk meraih pingat emas berganda Sukan SEA bagi acara riben biru di venue yang sama pada bulan depan.
“Saya bersyukur kepada Allah kerana mengizinkan saya untuk memecahkan rekod kebangsaan sekali lagi. Saya juga ingin berterima kasih kepada ibu bapa dan jurulatih Mohd Poad Md Kassim yang melatih saya.
“Kini saya lebih bersemangat untuk mencipta satu kejutan pada Sukan SEA pada Ogos ini,” katanya dipetik sebagai berkata.
Terdahulu, Ratu Pecut negara Zaidatul Husniah Zulkifli yang mewakili Pulau Pinang meraih emas acara 200m selepas menamatkan larian dengan catatan 24.12s, diekori rapat oleh S. Komalam Shally dari Terengganu dengan catatan 24.27s.
Gangsa menjadi milik Siti Fatimah Mohamed dari Johor yang mencatatkan 24.58s.