ADS
mk-logo
Sukan
Faiz Subri tukar baju Melayu dengan sut
Diterbitkan:  Jan 9, 2017 5:31 PM
Dikemaskini: 9:41 AM

Finalis anugerah Puskas 2016 Mohd Faiz Subri mengambil keputusan tidak akan memakai baju melayu pada majlis Anugerah Bolasepak FIFA 2016 di Zurich Switzerland awal pagi esok kerana faktor cuaca yang terlalu sejuk.

Pemain Pulau Pinang berusia 29 tahun itu sebaliknya akan memakai pakaian formal baju sut berikutan cuaca sejuk sekitar -5 selsius.

"Keadaan di sini memang sejuk, memang saya akan pakai baju kot. Bukan pakai baju Melayu tak kena (sesuai) tapi terlalu sejuk," katanya seperti dilapor Arena Metro ketika ditemui di Zurich.

Sebelum ini, Faiz berhasrat memakai set persalinan lengkap baju Melayu yang ditaja beberapa pihak pada majlis anugerah bola sepak berprestij itu.

Penganjur Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) turut memberi kebenaran kepada Faiz selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membuat permohonan.

ADS

"Tak apa kalau saya tak dapat pakai baju Melayu di sini, Insya Allah kalau menang saya akan pakai di Malaysia nanti," jelas Faiz.

FIFA menerusi laman web rasminya, www.fifa.com pada Disember lepas
mengumumkan jaringan Mohd Faiz tersenarai antara tiga jaringan terbaik
dunia untuk Anugerah Puskas 2016.

Jaringan ajaib itu dilakukan sewaktu membantu pasukannya, Pulau Pinang mencatat kemenangan 4-1 ke atas Pahang dalam saingan Liga Super.

Video jaringan yang dimuat naik oleh FIFATV di laman YouTube pada 21 November lepas telah ditonton lebih dua juta pelayar dari seluruh dunia.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS