FAM akan memberi penghargaan khas kepada penyerang Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri sekiranya beliau memenangi Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) di Zurich, Switzerland pada 9 Jan depan.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata badan induk itu amat berbangga dengan jaringan Mohd Faiz yang disenaraikan antara 10 jaringan terbaik bagi anugerah berkenaan yang mula diperkenalkan pada 2009 oleh Fifa sebagai gol tercantik sepanjang tahun.
"(Pencalonan) ini merupakan satu perkara baik untuk bola sepak Malaysia kerana jaringan ini telah mendapat perhatian dalam media sosial dan Fifa," katanya ketika ditemui pemberita di Yangon, hari ini.
"Saya berharap jaringan ini dapat memenangi anugerah Puskas dan sekali lagi kita ingin mengucapkan tahniah kepada Mohd Faiz Subri di atas pencalonan ini," jelas Hamidin yang juga pengurus skuad Harimau Malaysia.
Beliau pada masa sama menjelaskan jaringan tersebut sepatutnya menjadi pembakar semangat pemain dalam Liga Malaysia untuk memburu anugerah yang sama pada masa akan datang.
Fifa menerusi laman web rasminya, www.fifa.com semalam, memaklumkan gol cantik Mohd Faiz merupakan 10 jaringan yang disenarai pendek bagi melalui proses awal pemilihan sebelum melalui peringkat kedua untuk anugerah Puskas Fifa 2016.
Selain jaringan cantik Mohd Faiz yang dilakukan pada perlawanan Liga Super antara Pulau Pinang dan Pahang di Stadium Bandaraya Pulau Pinang pada 16 Feb lepas, turut tersenarai ialah gol bintang Barcelona, Lionel Messi dari Argentina.
Peminat bola sepak boleh membuat undian terhadap jaringan pilihan mereka bermula semalam menerusi laman web Fifa sehingga 2 Dis ini.
Tiga jaringan terbaik yang mendapat undian terbanyak akan melalui undian sekali lagi dan pemenang akan diumumkan pada Anugerah Bola Sepak Fifa di Zurich pada 9 Jan depan.
FAM pada 22 Feb lepas, menghantar permohonan rasmi kepada Fifa bagi mencadangkan agar gol dijaringkan pemain berusia 29 tahun itu dipertimbangkan untuk anugerah tersebut.
Gol yang melencong cantik sebelum menerjah gawang lawan itu, menerusi sepakan percuma dari jarak kira-kira 32 meter pada perlawanan Liga Super ketika Pulau Pinang bertemu Pahang awal tahun ini, dan menjadi viral di media sosial kerana keunikan jaringan tersebut.
-Bernama