PRK AYER KUNING | BN tidak akan mengadakan ceramah berskala besar sepanjang tempoh kempen, sebaliknya akan memberi tumpuan kepada mendekati dan menyantuni setiap pengundi di kawasan berkenaan.
Pengerusi BN merangkap Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi, berkata tidak banyak isu tempatan yang boleh dibangkitkan pihak pembangkang melainkan isu di peringkat nasional.
Pun begitu, katanya, BN bersedia menjawab serta menangkis segala dakwaan berkenaan.
“Jawapan yang diberikan insya-Allah bukan sahaja akan memuaskan hati para pengundi di sini, malah mampu memberikan penjelasan terhadap isu-isu yang dibangkitkan,” katanya pada sidang media selepas proses penamaan calon di Dewan Merdeka, Tapah hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pihaknya akan meneliti keperluan pembangunan di kawasan berkenaan yang boleh ditambah baik demi kesejahteraan penduduk.
“Ayer Kuning merupakan kawasan luar bandar, dan insya-Allah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan mempertimbangkan pembangunan infrastruktur berterusan di kawasan ini.

“Kita berharap pengundi di Ayer Kuning dapat memberikan sokongan kepada calon BN Dr Mohamad Yusri Bakir yang berjanji untuk meneruskan kesinambungan khidmat seperti yang pernah diberikan oleh Allahyarham Ishsam Shahruddin,” katanya.
Sementara itu, ketika diminta mengulas dakwaan kononnya Pemuda Umno memboikot calon BN, Ahmad Zahid menafikan perkara tersebut dan yakin sayap parti itu akan memberikan sokongan sepenuhnya kepada Mohamad Yusri.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohamad Yusri, calon PN Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian Ishsam, 58, pada 22 Feb lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 26 April, manakala pengundian awal pada 22 April.
- Bernama