Setelah hampir lima bulan pemergian Allahyarham Muhammad Zulfan Iqbal Zaiful, 16, keluarganya menuntut siasatan yang telus mengenai kejadian yang mengakibatkan kematian pelajar tingkatan empat itu, yang juga merupakan atlet bola sepak bawah 16 tahun (B16) Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI).
Bapanya, Zaiful Ibrahim, 53, tampil membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, hari ini, kerana mengesyaki terdapat unsur kecuaian dan pengabaian yang menyebabkan kematian anaknya.
Zaiful berkata keluarganya amat berduka cita atas kejadian yang berlaku pada 25 Nov lalu dan menyeru agar siasatan yang adil, telus dan menyeluruh dijalankan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dia menegaskan kemalangan yang melibatkan kehilangan nyawa pelajar di premis sekolah berasrama penuh adalah perkara yang sangat serius dan tidak seharusnya dipandang ringan.
“Sebarang kecuaian dalam aspek pemantauan, keselamatan dan tatacara latihan mesti ditangani secara menyeluruh agar kejadian seumpama ini tidak berulang.
“Keluarga arwah memohon perhatian penuh pihak kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia agar keadilan untuk Allahyarham Muhammad Zulfan Iqbal Zaiful dapat ditegakkan demi maruah dan keselamatan semua pelajar Malaysia,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan polis, hari ini.

Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah ibu mangsa, Sullaila Mahmud, 51, serta peguam, Hafiz Imran dan Imran Tamrin.
Dalam kenyataannya kepada media, Zaiful berkata, berdasarkan maklumat daripada pihak sekolah, anaknya lemas semasa menjalani latihan pemulihan di kolam renang terjun SSTMI yang mempunyai kedalaman lima meter pada hari kejadian.
Pihak keluarga belum dipanggil bantu siasatan
Menurutnya, berdasarkan maklumat saksi termasuk rakan-rakan mangsa, Allahyarham tenggelam ke dasar kolam itu selama 15 hingga 20 minit sebelum berjaya dikeluarkan oleh seorang atlet renang yang berada di lokasi kejadian.
“Ketika dikeluarkan dari kolam, arwah tidak sedarkan diri serta mengalami pendarahan dari mulut, hidung dan telinga.
“Jenazah telah dibawa ke Klinik Kesihatan Bandar Penawar sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya.
Tambahnya, sejak hari kejadian sehingga hari ini pihak keluarga masih belum menerima maklum balas mengenai hasil siasatan kes kematian Muhammad Zulfan sama ada daripada pihak KPM mahupun PDRM.
“Sehingga kenyataan ini dikeluarkan, pihak keluarga belum lagi dipanggil untuk membantu siasatan pihak PDRM.
“Keluarga juga masih belum menerima sebarang maklum balas rasmi sama ada daripada pihak KPM mahupun PDRM berhubung kejadian tersebut,” kata Zaiful.