ADS
mk-logo
Berita
Calon PN didakwa guna gambar penyokong BN tanpa kebenaran

Calon PN bagi pilihan raya kecil (PRK) DUN Ayer Kuning didakwa menggunakan gambar seorang ahli BN tanpa kebenaran sebagai bahan kempen.

Poster itu menunjukkan Abd Muhaimin Malek, yang juga Pengerusi PN Tapah memeluk bahu seorang lelaki warga emas.

Selain itu ia juga memaparkan slogan “Mendengar, Membantu dan Menyantuni”, serta “Sentiasa Dekat Dengan Rakyat”.

Bagaimanapun difahamkan isteri kepada lelaki itu mendakwa suaminya tidak dimaklumkan mengenai penggunaan gambar berkenaan.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Temoh semalam, wanita itu berkata suaminya memegang jawatan dalam Pusat Daerah Mengundi (PDM) BN Temoh Stesen.

ADS

Dia juga memaklumkan keluarganya hanya menyedari kewujudan poster itu selepas diberitahu oleh anak kepada seorang rakan, yang kemudian mendorongnya membuat laporan polis.

Tuduhan ini merupakan satu lagi tamparan terhadap Muhaimin, yang sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila didakwa mengelirukan pihak berkuasa agama negeri Perak bagi mendapatkan tauliah untuk mengajar dan menyampaikan ceramah agama.

Muhaimin masih belum memberikan penjelasan berhubung tuduhan tersebut, sebaliknya memberitahu wartawan bahawa PN akan memberikan jawapan “jika tiba masanya”.

Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi, sebelum ini turut membangkitkan dakwaan bahawa Muhaimin memperdaya pihak berkuasa agama negeri untuk mendapatkan tauliah sebagai ustaz.

Pengundi Ayer Kuning akan keluar mengundi pada 26 April ini.

Dalam PRK itu, Muhaimin akan dicabar Timbalan Setiausaha Agung PSM, Bawani KS dan Setiausaha Umno Tapah, Yusri Bakir.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS