ADS
mk-logo
Berita
Abang Iskandar dijangka dilantik sebagai Ketua Hakim Negara - laporan
Diterbitkan:  Apr 5, 2025 10:27 AM
Dikemaskini: 2:28 AM

Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim dijangka akan dilantik sebagai Ketua Hakim Negara yang baru, menggantikan Tengku Maimun Tuan Mat yang dijadualkan bersara pada Jun ini.

“Pelantikan itu nampaknya strategik kerana pada masa ini tiada orang Sarawak lain yang mungkin hampir menjadi hakim tertinggi dalam masa terdekat,” kata sumber seperti dipetik Free Malaysia Today.

Sumber itu turut mendakwa hakim Mahkamah Persekutuan Ahmad Terrirudin Salleh – yang merupakan hakim paling junior dalam kalangan 10 hakim Mahkamah Persekutuan – dijangka akan menggantikan Abang Iskandar sebagai Presiden Mahkamah Rayuan.

Terrirudin, 57, dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan pada November lalu.

ADS

Abang Iskandar, yang akan mencapai usia persaraan wajib bagi hakim iaitu 65 tahun pada 1 Julai ini, dijangka akan menerima lanjutan tempoh perkhidmatan selama enam bulan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Menurut undang-undang, Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) mesti mengemukakan senarai calon bagi jawatan tertinggi itu kepada perdana menteri. 

Tengku Maimun Tuan Mat

Perdana menteri, selaras dengan Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, kemudian akan memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong berkenaan perkara itu.

Perkara itu juga memperuntukkan Agong untuk bertindak berdasarkan nasihat perdana menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

ADS

Namun, Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan perdana menteri untuk merujuk kepada Ketua Hakim Negara sedia ada dalam pemilihan penggantinya.

Menjunjung kebebasan kehakiman

Pada Januari lalu, Tengku Maimun menyuarakan keyakinannya bahawa Anwar akan terus menjunjung kebebasan badan kehakiman.

Dia membuat kenyataan tersebut selepas mengimbas kembali bagaimana Anwar, yang ketika itu adalah ketua pembangkang pada 2009, membuat bantahan terhadap Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) di Dewan Rakyat.

“Secara kebetulan, 15 tahun lalu, sebelum Akta JAC 2009 dikuatkuasakan, ketua pembangkang pada masa itu memberikan pandangan, seperti yang tercatat dalam Hansard, mengenai pelantikan hakim dan kebebasan kehakiman.

“Saya yakin bahawa kini, sebagai perdana menteri, Anwar Ibrahim dan kerajaannya akan kekal setia dengan pandangan tersebut dengan terus berkomitmen tanpa syarat untuk mempertahankan kebebasan kehakiman,” katanya ketika itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS