ADS
mk-logo
Berita
NGO sambut baik 'penyesalan' UK berhubung pembunuhan di Batang Kali
Diterbitkan:  Apr 4, 2025 10:54 PM
Dikemaskini: 2:54 PM

Sebuah NGO menyambut baik tindakan kerajaan UK yang akhirnya menyatakan rasa kesal terhadap pembunuhan beramai-ramai di Batang Kali pada tahun 1948, selepas sekian lama menafikannya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Jawatankuasa Bertindak Mengecam Pembunuhan Beramai-ramai Batang Kali berkata mereka menerima surat daripada Menteri Negara UK bagi Indo-Pasifik, Catherine West.

Surat bertarikh 31 Mac itu mengakui bahawa kejadian pembunuhan itu adalah satu tragedi yang telah menyebabkan penderitaan mendalam kepada keluarga mangsa.

Surat itu juga mengakui bahawa UK telah menyebarkan "naratif yang salah dan tidak membantu", yang menggambarkan mangsa sebagai penyokong pemberontakan.

“Kerajaan Baginda ingin mengakui penderitaan dan kesengsaraan yang disebabkan oleh peristiwa ini. Dengan berlalunya masa, kami mendapati bahawa tiada siasatan baru yang dapat mencapai kesimpulan muktamad mengenai apa yang berlaku pada tahun 1948.

ADS

“Namun, UK amat kesal dengan kematian tragik ini dan penderitaan yang ditanggung oleh banyak keluarga. Kami merakamkan simpati kepada semua yang terkesan,” katanya dalam surat yang diedarkan oleh jawatankuasa tersebut.

Surat ini dipercayai sebagai respons kepada surat jawatankuasa tersebut kepada Setiausaha Luar UK pada 6 Sept tahun lalu.

Jawatankuasa tersebut berkata surat menteri itu menunjukkan satu perubahan besar dalam pendirian UK mengenai insiden tersebut, yang sebelum ini dinafikan, dianggap sebagai “kesilapan yang tidak disengajakan”, dan disiasat dengan tidak sempurna walaupun terdapat pengakuan daripada tentera British yang terlibat.

ADS

Mereka menggesa agar kenyataan Catherine West dibacakan secara rasmi di Parlimen UK untuk memastikan kebenaran mengenai insiden itu diketahui umum dan direkodkan dalam sejarah.

Jawatankuasa itu juga mencadangkan agar UK membiayai pembinaan tugu peringatan kekal di tempat persemadian terakhir 24 mangsa di Ulu Yam itu.

“Kami berterima kasih kepada kerajaan British atas pengakuan ini, yang merupakan langkah ke arah menyembuhkan luka sejarah dan menggalakkan perdamaian.

“Walaupun jawapan menteri itu disampaikan dengan berhati-hati, kami merasakan ada keikhlasan dan kerendahan hati dalam pendekatannya, yang akan memainkan peranan penting dalam proses penyembuhan serta memuaskan keluarga dan komuniti yang terkesan,” kata penyelaras jawatankuasa itu, Quek Ngee Meng.

Peristiwa pembunuhan beramai-ramai itu berlaku pada 11 dan 12 Disember 1948 di Batang Kali, Selangor, semasa Darurat di Tanah Melayu.

Dalam kejadian itu, tentera dari Platun Ketujuh Rejimen Scots Guards memasuki ladang getah Sungai Rimoh di Batang Kali dalam operasi menentang pemberontak komunis dan menahan serta membunuh 24 penoreh getah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS