Bekas perdana menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi meninggal dunia pada jam 7:10 malam tadi di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada usia 85 tahun.
Perkara itu dimaklumkan oleh bekas menteri, Khairy Jamaluddin yang juga anak menantu Abdullah.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkan roh Allahyarham dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah,” katanya.
Abdullah, yang mesra dikenali sebagai "Pak Lah", dilahirkan pada 26 November 1939 di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Allahyarham memegang jawatan perdana menteri dari 31 Oktober 2003 hingga 3 April 2009, menggantikan Dr Mahathir Mohamad. Sepanjang pentadbirannya, Abdullah memperkenalkan konsep Islam Hadhari dan menekankan pembangunan modal insan serta integriti dalam pentadbiran.
Sebelum menjadi perdana menteri, Abdullah berkhidmat dalam pelbagai portfolio termasuk menteri luar dan menteri keselamatan dalam negeri.
Abdullah meninggalkan seorang isteri, Jeanne Abdullah dan dua orang cahaya mata hasil perkahwinan terdahulu dengan Allahyarhamah Endon Mahmood.
Anak perempuannya, Nori Abdullah mendirikan rumah tangga dengan Khairy Jamaluddin.