ADS
mk-logo
Berita
Tarif baru: Golongan kaya dunia rugi AS$208 bilion dalam sehari - BBI

Golongan paling kaya di dunia mengalami kerugian terkumpul sebanyak US$208 bilion dalam tempoh 24 jam susulan pengumuman tarif import baharu oleh Amerika Syarikat, menurut data Indeks Bilionair Bloomberg (BBI) yang dikumpulkan Bloomberg pada Jumaat, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Kemerosotan kekayaan terkumpul dalam kalangan 500 individu terkaya dunia itu merupakan penurunan harian keempat terbesar sejak BBI dilancarkan 13 tahun lepas dan yang terbesar sejak pandemik COVID-19.

Pengasas Meta Mark Zuckerberg mencatat kerugian paling besar dari segi jumlah dolar dengan kejatuhan nilai saham Meta hampir sembilan peratus pada Khamis, menyebabkan kekayaannya susut kira-kira sembilan peratus atau US$17.9 bilion, menurut data BBI.

Dalam masa sama, pengasas syarikat peruncit dalam talian Amazon, Jeff Bezos, kerugian sebanyak US$15.9 bilion apabila saham Amazon merosot sembilan peratus - kejatuhan paling besar sejak April 2022.

Usahawan bilionair Amerika Syarikat, Elon Musk, yang memiliki Tesla dan SpaceX, pula mencatat kerugian US$11 bilion susulan penurunan hampir 5.5 peratus dalam saham Tesla pada Khamis.

ADS

Pada Rabu, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menandatangani satu perintah eksekutif yang mengenakan tarif asas sebanyak 10 peratus ke atas semua import ke AS bermula 5 April, manakala tarif yang lebih tinggi secara timbal balik terhadap negara-negara yang mempunyai defisit dagangan terbesar dengan AS akan berkuat kuasa pada 9 April.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS