ADS
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Contohi Pak Lah: Dia tak ada masalah letak jawatan, kata Mahathir
Diterbitkan:  Apr 15, 2025 12:33 PM
Dikemaskini: 7:31 AM

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad memberi penghormatan kepada penggantinya, Allahyarham Abdullah Ahmad Badawi hari ini.

Bercakap kepada pemberita di Masjid Negara, Mahathir mengimbau bahawa dia pertama kali bertemu Abdullah pada 1968 di sebuah pasar raya.

Bagaimanapun, perkara yang paling diingatinya hari ini ialah keputusan Abdullah berundur sebagai perdana menteri pada 2009.

Mahathir berkata selepas dia melepaskan jawatan perdana menteri pada 2003, Abdullah yang ketika itu menyandang jawatan timbalan perdana menteri, mengambil alih tampuk kepimpinan negara dan mencatat kejayaan luar biasa pada Pilihan Raya Umum ke-11 pada 2004.

ADS

“Apabila beliau menjadi perdana menteri, beliau mengetuai pilihan raya pada tahun 2004 dan mencatat kemenangan paling cemerlang dalam sejarah negara dengan meraih hampir 90 peratus undian untuk Barisan Nasional.

“Selepas itu dia mentadbir dan hadapi banyak masalah, sebab masalah-masalah ini prestasi dalam pilihnaraya 2008 tidak begitu itu baik.

“Dan dia tidak teragak-agak, apabila kejayaan yang kurang (memuaskan), ramai yang tuntut dia untuk letak jawatan, dia tak ada masalah dia letak jawatan.

“Inilah cara di Malaysia, apabila kita bersara kita pergi dengan mudah tanpa masalah dan kita serah kepada pengganti kita.

“Kalau amalan ini diteruskan Malaysia, jadi negara aman. Ini contoh Abdullah Badawi,” katanya kepada pemberita.

Hubungan Mahathir dengan Abdullah renggang sekitar 2006 selepas pembatalan projek jambatan 'bengkok' ke Singapura.

Keadaan bertambah buruk, apabila selepas pilihan raya umum 2008, Mahathir menjadi antara pengkritik Abdullah yang paling lantang menggesa dia meletakkan jawatan.

Ia sampai ke tahap Mahathir bertindak ‘keluar’ Umno pada Mei 2008 untuk membantah keengganan Abdullah ketika itu untuk berundur.

Abdullah akhirnya mengalah dan melepaskan jawatannya pada April 2009.

Sementara itu, Mahathir turut mengimbas bahawa Abdullah adalah antara pemuda yang dibimbing oleh perdana menteri kedua negara Abdul Razak Hussein.

“Razak mempunyai kepercayaan yang besar kepada Abdullah," katanya.

Mahathir turut menyifatkan allahyarham sebagai lambang kepimpinan berhemah dan matang yang wajar dicontohi demi kelangsungan kestabilan dan keharmonian negara.

“Saya mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga allahyarham dan percaya mereka akan tabah menghadapi ujian ini. Ini adalah lumrah kehidupan; setiap yang hidup pasti akan kembali kepada-Nya,” katanya.

Abdullah, yang lebih mesra dengan panggilan 'Pak Lah' meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 7.10 malam semalam di usia 85 tahun.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS