ADS
story images
story images
mk-logo
Berita
Bekas timbalan speaker Dewan Negara ditahan atas dakwaan rasuah
Diterbitkan:  Apr 15, 2025 9:33 AM
Dikemaskini: 5:16 AM

SPRM menahan bekas timbalan speaker Dewan Negara Mohamad Ali Mohamad yang juga timbalan Ketua Penerangan Bersatu Mohamad Ali Mohamad semalam berhubung dakwaan rasuah.

Menurut peguamnya Rafique Rashid Ali, Ali yang merupakan bekas Adun ditahan pada pukul 6.30 petang semalam, ketika pasukan SPRM menyerbu rumahnya di Tangga Batu di Melaka.

SPRM turut mengambil keterangan daripada isteri dan anak-anaknya di pejabatnya di Melaka, dan mereka dibebaskan kira-kira pada pukul sembilan malam semalam.

“Setakat ini, kami hanya dimaklumkan yang dia ditahan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM, berhubung dakwaan rasuah.

“Kami belum mendapat maklumat penuh berhubung dakwaan. Kami menjangkakan pegawai penyiasat akan memaklumkannya nanti,” kata Rafique.

ADS

Dia berkata Ali dibawa ke mahkamah pagi ini untuk permohonan reman.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan penangkapan itu namun tidak mengulasnya dengan lebih lanjut.

Bermotif politik

Pada tengah malam semalam, pemimpin Bersatu Badrul Hisham Shaharin membuat hantaran di Facebook berhubung penahanan Ali.

Badrul mendakwa penahanan itu bermotif politik dan mendakwa ia berkaitan dengan pertembungan Ali dengan Ketua Menteri Melaka yang juga Pengerusi Umno Melaka, Ab Rauf Yusoh.

Untuk rekod, Ali merupakan bekas timbalan pengerusi Umno Melaka. Dia juga pernah menjadi ketua Umno Tangga Batu namun tewas kepada Rais Yasin dalam pemilihan pada 2023.

Ali menjadi timbalan yang-dipertua Dewan Negara pada Disember 2020 hingga Mei 2023.

Pada Mei tahun lalu, Umno mengumumkan keanggotaan Ali ditamatkan ekoran tindakannya menyertai Bersatu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS