Perdana Menteri Anwar Ibrahim dijangka meluluskan satu lagi lanjutan - kali ketiga sejak memegang jawatan - untuk Azam Baki terus berkhidmat sebagai ketua pesuruhjaya SPRM, lapor akhbar berita kewangan Bloomberg.
Memetik sumber yang rapat dengan perkara itu yang tidak mahu namanya disiarkan, Bloomberg meyebut bahawa Azam, 62, akan diberikan lanjutan enam bulan selepas tamat penggal semasanya pada Mei.
“Pengumuman itu mungkin dibuat pada awal Mei, kata orang itu sambil menambah rancangan tersebut mungkin berubah.

“Anwar telah berbincang bahawa lanjutan setahun penuh buat Azam boleh mencetuskan kritikan terhadap kerajaan, kata orang itu, ” petik laporan tersebut, sambil menyatakan bahawa Azam dan SPRM telah menerima kritikan hebat daripada pelbagai pihak
Artikel itu juga menekankan bahawa di bawah kepimpinan Azam, SPRM telah bertindak terhadap musuh politik Anwar, termasuk keluarga bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan allahyarham bekas menteri kewangan Daim Zainuddin.
Bagaimanapun, dia menyebut bahawa suruhanjaya itu tidak bertindak ke atas aduan oleh seorang ahli politik berhubung pembelian saham yang melibatkan seorang sekutu Anwar.
'Quid pro quo'
“Empat orang yang rapat dengan situasi itu, yang meminta nama mereka tidah didedahkan membincangkan perkara sulit, berkata ketika itu kedua-dua, pegawai SPRM dan sekutu politik perdana menteri berada di bawah tanggapan bahawa mereka telah mencapai persefahaman - tempoh perkhidmatan Azam sebagai ketua pesuruhjaya SPRM akan dilanjutkan sebagai balasan untuk bertindak ke atas seteru Anwar.
“Azam dan Anwar menafikan mereka mempunyai persefahaman dan berkata SPRM beroperasi secara bebas daripada perdana menteri,” tambahnya.

Bloomberg berkata Pejabat Perdana Menteri tidak menjawab pertanyaan mengenai kemungkinan lanjutan itu, manakala SPRM enggan mengulas.
Sebelum ini, menjelang pilihan raya umum lalu, Anwar dan pemimpin Pakatan Harapan yang lain sering mengkritik Azam.
Antara mereka ialah Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, yang berjanji akan mencari Azam jika pakatan pembangkang ketika itu memenangi pilihan raya.
Timbalan presiden PKR itu menuduh Azam melakukan apa yang disebutnya sebagai penganiayaan politik selepas ia menyerbu firma datanya, Invoke Solutions Sdn Bhd sebanyak dua kali.

Azam juga mengundang kecaman daripada ketua pesuruhjaya sebelumnya, Latheefa Koya berhubung pengendaliannya terhadap skandal rasuah Sabah.