ADS
story images
story images
mk-logo
Berita
Zaid nasihatkan Aaron - Buat kerja biasa, jangan lebih-lebih
Diterbitkan:  Apr 2, 2025 10:06 AM
Dikemaskini: 2:35 AM

Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim menawarkan nasihat sinis kepada Menteri Perpaduan Nasional Aaron Ago Dagang, iaitu buat kerja-kerja rutin seperti rakan-rakan kabinetnya.

“Buat kerja biasa dan sampaikan ucapan lazim yang kami harapkan daripada pemimpin kami.

"Jangan bimbang tentang perpaduan. Jika kamu lebih-lebih, mereka akan salahkan kamu kerana menyebabkan perpecahan," katanya di laman X.

ADS

Kenyataan itu susulan kenyataan Aaron bahawa kementeriannya telah memfailkan laporan kepada SKMM terhadap seorang pengguna media sosial yang menggesa supaya “memerangi” kaum India seperti mengulangi tagedi berdarah 13 Mei 1969.

Individu yang dimaksudkan oleh menteri itu, merupakan pengguna X dengan nama Amir Ridhwann yang telah mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman yang melampau.

Dia dilaporkan menulis "sekarang ni memang elok perang je Melayu dengan Keling ni. Baru dorang tahu tempat dorang kat mana."

Dia turut menghina komuniti India dengan menyifatkan mereka sebagai “bodoh” dan menuduh mereka membina "kuil beratus-ratus di tanah haram” walaupun hanya mewakili tujuh peratus daripada penduduk negara ini.

ADS

Mengulas lanjut, Zaid mencadangkan sebelum bertindak, Aaron terlebih dahulu perlu meminta rakan-rakannya dalam Jemaah Menteri supaya menentukan parameter tentang ucapan kebencian.

"Ucapan kebencian biasanya menyasarkan orang berdasarkan kaum atau agama. Ia menggunakan bahasa yang tidak berperikemanusiaan seperti 'mereka adalah parasit.'

"Ia juga melibatkan hasutan dan seruan untuk keganasan, seperti 'mereka harus ditendang keluar dari negara ini,'" katanya.

Bekas ahli parlimen Kota Bharu itu seterusnya mengemukakan tujuh soalan kritikal:

  • Adakah kerajaan akan mengarahkan SKMM dan polis bertindak terhadap pendakwah yang menjadikan agama sebagai perisai ucapan kebencian?

  • Adakah khutbah agama akan dikecualikan daripada penelitian, atau adakah ia akan dianggap seperti ucapan awam lain?

  • Adakah pegawai agama akan diberikan kekebalan jika ucapan mereka memperlekehkan agama lain?

  • Jika seorang pendakwah mengisytiharkan bahawa agama selain Islam adalah palsu, adakah itu akan dianggap sebagai ucapan kebencian?

  • ADS

    Jika seorang pendakwah berkata, "kita ada terlalu banyak kuil," adakah pihak berkuasa akan mengambil tindakan?

  • Bukankah sekolah yang menghalang pelajar tidak berpuasa daripada makan di hadapan mereka yang berpuasa itu satu kelakuan yang penuh kebencian?

  • Adakah serbuan ke atas jam tangan warna-warni pelangi Swatch itu contoh kelakuan yang penuh kebencian?

Berdasarkan contoh-contoh itu, Zaid berhujah bahawa Aaron menghadapi "tugas yang mustahil" kerana di negara ini pemimpin kerap menggunakan dalil agama untuk meningkatkan populariti mereka - menjadikannya sukar untuk menangani isu agama secara saksama.

"Memburukkan lagi keadaan, kita tidak boleh bercakap mengenainya. Ia terlalu sensitif.

“Kerajaan akan sentiasa menjunjung agama rasmi sebagai keutamaan dalam setiap aspek. Akibatnya, sukar untuk mengawal puak yang menyebarkan idea garis keras melalui ucapan kebencian.

"Kerajaan akan keberatan untuk bertindak kerana bimbang akan tindak balas," katanya lagi.

Zaid seterusnya menegaskan bahawa dalam keadaan sedemikian, SKMM menjadi tidak berkesan.

“Malah kabinet kamu tidak akan berani mentakrifkan ucapan kebencian kerana politik dan agama sangat berkait sehingga tidak boleh dipisahkan,” tambahnya.

Mengakhiri ucapannya, Zaid menasihatkan Aaron agar tidak membebankan SKMM dengan tugas yang mustahil - bertindak terhadap semua yang menyemai benih perpecahan dan cuba memecah-belahkan.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS