ADS
mk-logo
Berita
Video kebakaran bukan di stesen Petronas
Diterbitkan:  Apr 1, 2025 1:23 PM
Dikemaskini: 7:07 AM

Bagaimanapun, tiga stesen minyak Petronas (PS) berdekatan -- PS Putra Heights, PS KM2 LDP dan PS Putra Bestari -- tidak terjejas, sebaliknya ditutup sementara sebagai langkah berjaga-jaga.

Petronas Dagangan Bhd (PDB) menjelaskan bahawa video yang tersebar di media sosial berhubung kejadian kebakaran di Putra Heights, Puchong tidak berlaku di mana-mana stesen minyak Petroliam Nasional Bhd (Petronas).

“Tiga stesen minyak Petronas (PS) berdekatan -- PS Putra Heights, PS KM2 LDP dan PS Putra Bestari -- tidak terjejas, sebaliknya ditutup sementara sebagai langkah berjaga-jaga.

“Pelanggan boleh menggunakan alternatif berikut untuk mengisi minyak kenderaan mereka - PS USJ 20, PS USJ 6 dan PS USJ 9,” katanya dalam kenyataan hari ini.

ADS

Menurut PDB, pihaknya bekerjasama rapat dengan semua pihak yang berkaitan untuk memastikan keselamatan komuniti, penduduk dan alam sekitar selaras dengan dasar dan piawaian kesihatan, keselamatan dan alam sekitarnya.

Terdahulu, Petronas mengesahkan kebakaran berlaku di saluran paip utama Petronas Gas Bhd (PGB) berhampiran Putra Heights, Puchong, Selangor pada 8.10 pagi ini.

Katanya saluran paip yang terjejas telah diasingkan dan semua pihak berkepentingan yang berkaitan telah dimaklumkan.

Tidak libatkan Gas Malaysia

ADS

Sementara itu, Gas Malaysia Distribution Sdn Bhd (GMD), anak syarikat milik penuh Gas Malaysia Berhad, mengesahkan kejadian kebakaran hari ini, tidak melibatkan kemudahan gas syarikat itu.

GMD dalam kenyataan memaklumkan pihaknya sedang menilai kejadian dan kesannya terhadap pelanggan mereka.

“Setelah dimaklumkan, pasukan tindak balas kecemasan kami segera dikerahkan ke lokasi untuk menilai kejadian. Kami ingin menjelaskan bahawa kejadian ini tidak melibatkan kemudahan gas kami.

“Gas Malaysia kekal komited mengutamakan keselamatan orang awam dan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan serta pembekal gas untuk memantau perkembangan,” menurut kenyataan itu.

Syarikat berkenaan akan terus berhubung dengan semua penghantar termasuk pengguna akhir, dan memberikan kemas kini dari semasa ke semasa.

Kebakaran yang berlaku pagi tadi melibatkan saluran gas yang bocor sepanjang kira-kira 500 meter. 

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS