ADS
mk-logo
Berita
C4: Pendengaran awam insinerator Rawang wayang k'jaan Selangor?
Diterbitkan:  Mar 28, 2025 6:39 PM
Dikemaskini: 10:39 AM

Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) mengecam Kerajaan Selangor dikecam NGO kerana didakwa gagal memahami tanggungjawabnya dalam memudahkan akses rakyat kepada maklumat dan penglibatan dalam pembangunan dasar.

C4 menyeru kerajaan negeri untuk menerima dan mempertimbangkan sepenuhnya kebimbangan awam terhadap kemungkinan kesan pembinaan insinerator di Batu Arang, Rawang. Menurut C4, kritikan RTI terhadap pendengaran awam itu menggambarkan kecacatan asas dalam rangka kerja akses kepada maklumat kerajaan negeri.

“Kami ingin bertanya kepada kerajaan negeri Selangor: Apakah tujuan mengadakan pendengaran awam sebegini? Adakah untuk mengumpul maklum balas yang bermakna bagi membentuk dasar awam, atau sekadar formaliti untuk memenuhi syarat,” soal C4 pada satu kenyataan hari ini.

Ini susulan laporan Malaysiakini semalam mengenai pendengaran awam Draf Rancangan Struktur Selangor 2035 menerima bantahan daripada Jaringan Rawang Tolak Insinerator (RTI) berikutan antaranya kegagalan wakil agensi kerajaan memberikan maklum balas yang mencukupi.

Jurucakap RTI, Abdul Hanan Abd Mokti mendakwa walaupun sekitar 80 individu menghadiri sesi tersebut semalam, hanya enam orang diberikan ruang untuk menyampaikan pandangan dan kebimbangan mereka.

ADS

Dakwanya beberapa individu lain pula dinafikan peluang untuk bercakap, tanpa sebarang alasan diberikan sepanjang sesi selama kira-kira satu jam yang dipengerusikan oleh Exco Perumahan dan Kebudayaan, Borhan Aman Shah.

Media juga telah dihalang daripada hadir dalam sesi pendengaran awam itu, dengan Borhan dilaporkan memberitahu hadirin bahawa larangan itu dibuat kerana bimbang akan “manipulasi”.

“Dengan melarang liputan media dan mengehadkan bilangan pembicara, kerajaan negeri menunjukkan bahawa mereka tidak benar-benar mahu menerima maklum balas jujur daripada orang awam, yang bertentangan dengan hak awam terhadap maklumat dan penyertaan dalam proses kerajaan,” kata NGO itu.

ADS

C4 berkata walaupun Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 tidak memperincikan secara mendalam bagaimana pendengaran awam atau siasatan tempatan perlu dijalankan, namun kerajaan negeri seharusnya mengiktiraf kepentingan mengumpulkan pandangan yang luas dari orang awam.

Dengan menggesa pentadbiran negeri mengambil langkah proaktif untuk memastikan sebanyak mungkin suara didengari, C4 memberi amaran kekurangan ketelusan boleh membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa dan salah laku.

Tindakan sedemikian, tambah C4, boleh menjejaskan proses membuat keputusan dalam hal perancangan dan berpotensi menyebabkan negeri merancang keutamaan hanya berdasarkan keuntungan ekonomi tanpa mengambil kira perlindungan sosial dan alam sekitar.

“Tindak balas kerajaan negeri masih tidak mencukupi hingga ke hari ini, kerana (RTI) telah melaporkan bahawa kerajaan negeri mengelak daripada menjawab pertanyaan masyarakat mengenai perkembangan pembinaan insinerator itu.

“Inilah isu berkepentingan awam yang sepatutnya diberi kuasa kepada masyarakat untuk bersuara, namun kerajaan negeri seolah-olah tidak menyedari hakikat ini,” kata C4.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS