Seorang pegawai Imigresen ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan membawa masuk warga asing melalui pintu masuk negara dipercayai tanpa melalui pemeriksaan imigresen.
Ketua Pengarah Imigresen Zakaria Shaaban menerusi satu kenyataan berkata pegawai yang bertugas di KLIA Terminal 2 itu ditahan pada 12 tengah hari semalam.
“Bertindak atas maklumat awam dan pemantauan Unit Integriti, Jabatan Imigresen KLIA, pemeriksaan ke atas pegawai terbabit telah menemukan sembilan pasport Pakistan dan dua pasport Sri Lanka tersimpan di dalam sweater yang dipakainya,” katanya.
Dia berkata tindakan penahanan ke atas pegawai terbabit telah dibuat dan diserahkan ke Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Ibu Pejabat untuk siasatan di bawah Seksyen 12(1) (f) Akta Pasport 1966.
“Jabatan ini menegaskan tidak akan berkompromi dan melindungi mana-mana pegawainya yang terlibat melakukan pelanggaran integriti.
“Ia termasuk salah guna kuasa dan rasuah di pintu masuk negara atau mana-mana pejabat imigresen di seluruh negara sehingga mencemarkan nama baik dan imej jabatan dan negara,” katanya.
Zakaria berkata tindakan dan hukuman yang berat akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada termasuk tindakan buang kerja jika pegawai yang melakukan kesalahan terbukti bersalah.
“Jabatan Imigresen serius dan komited dalam memastikan tahap integriti pegawai jabatan ini sentiasa berada di tahap maksimum,” katanya.
-Bernama