Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mahu semua pihak agar tidak terus mempolemikkan isu pemakaian lencana Jalur Gemilang di baju seragam pelajar sekolah.
Anwar berkata keputusan berkuatkuasa bulan depan itu telah dibincangkan dengan teliti.

“Apa yang susah? Lencana itu diberi secara percuma, lekat sajalah.
“Banyak negara-negara jiran pun dah buat lama dah. Kita pun dah fikir dan bincangkannya, buat sajalah supaya anak-anak itu daripada awal dididik untuk kasih juga kepada negara. Itu sahaja.
“Saya tidak fikir hal ini pun nak menjadi polemik panjang,” katanya kepada pemberita selepas solat Jumaat di Masjid Jamek Raja Tun Uda, Shah Alam, hari ini.
Malah, menurut Anwar, cadangan pemakaian lencana Jalur Gemilang oleh Kementerian Pendidikan itu sebenarnya sudah lama tertangguh.

“Jadi, saya putuskan dan jemaah menteri setuju supaya dapat dilaksanakan segera dengan pemberian bendera secara percuma,” katanya lagi.
Anwar berkata demikian ketika mengulas keputusan sesetengah pihak yang mempersoalkan proses tender untuk pengeluaran lencana ini akan dijalankan.
Semalam, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Pendidikan MCA Felicia Wong Yin Ting berkata walaupun langkah itu adalah positif di tengah-tengah peningkatan isu perkauman dan agama, masih terdapat beberapa persoalan yang perlu dijawab.
Antaranya, dia mahu Kementerian Pendidikan harus mendedahkan nama syarikat yang diberikan kontrak ini dan mahu Putrajaya membuktikan bahawa semua kontrak melalui proses yang betul dan tadbir urus yang bebas daripada kronisme, nepotisme atau amalan rundingan langsung.
Dia turut mencadangkan agar sekolah diberi autonomi untuk membeli lencana Jalur Gemilang daripada pembekal sah yang memenuhi spesifikasi ditetapkan kementerian.

Dalam pekeliling yang dikeluarkan Rabu lalu, Kementerian Pendidikan berkata garis panduan pemakaian lencana - berkuat kuasa 21 April - telah diluluskan oleh kabinet pada 14 Feb.
Keperluan itu terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, kolej matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG), manakala institusi pendidikan lain digalakkan untuk turut serta.
Kementerian juga akan menyediakan dua lencana secara percuma kepada semua pelajar tahun akademik 2025/2026.