ADS
mk-logo
Berita
Stoking, kuil dan Boeing: Zaid selar sikap munafik protes anti-AS
Diterbitkan:  Mar 28, 2025 11:21 AM
Dikemaskini: 3:21 AM

Zaid Ibrahim mengkritik sekeras-kerasnya apa yang dianggapnya sebagai sikap "pengecut" pemimpin Islam, sambil menuduh mereka sebagai munafik kerana meluahkan kemarahan terhadap isu tempatan seperti stoking dan kuil tetapi sanggup meneruskan perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS).

Kenyataannya di X dibuat sebelum Presiden Amanah Mohamad Sabu dijadual mengadakan perhimpunan solidariti bersama rakyat Palestin di luar kedutaan AS di Kuala Lumpur selepas solat Jumaat nanti.

Kekecewaan bekas menteri undang-undang itu dicetuskan oleh keputusan Malaysia Aviation Group (MAG) untuk membeli 30 pesawat Boeing.

ADS

"Pemimpin Islam kita suka mengadakan protes terhadap Amerika. Hari ini satu lagi hari untuk protes," katanya.

"Saya terkejut dengan sikap pengecut pemimpin Islam kita. Mereka membantah dan menyerang kumpulan minoriti di negara ini dalam pelbagai isu, termasuk stokin dan kuil, kononnya untuk mempertahankan integriti Islam.

"Tetapi mereka dengan senang hati membuat pemerolehan 30 pesawat Boeing dari Amerika, ibu kepada segala pembunuhan beramai-ramai terburuk abad ini," tambahnya.

Zaid menegaskan bahawa tanpa dana dan bom AS, perang Israel, yang telah meragut lebih 50,000 nyawa, tidak akan dapat dilaksanakan.

ADS

"Boeing membuat pesawat yang membawa bom ini," tegasnya, sambil mempersoalkan sama ada tindakan sedemikian sejajar dengan penerangan Al-Quran tentang "munafiqun" (munafik).

Kita tak malu?

Ketika dunia mengambil langkah untuk menunjukkan rasa jijik terhadap dasar AS, Zaid berkata, bahawa Malaysia melakukan sebaliknya.

“Adakah kita tidak malu untuk menyokong pembunuhan tidak masuk akal terhadap rakyat Palestin dan sekarang ini ke atas rakyat Yaman?

"Kita tidak perlu berdagang atau membeli sesuatu dari Amerika. Kita boleh hidup. Negara lain yang lebih miskin daripada kita boleh hidup walaupun berdepan sekatan mereka. Ia hanya sementara," tambahnya.

Zaid juga menggesa pemimpin Malaysia supaya tidak mengikut jejak langkah Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan Raja-raja Asia Barat.

“Apa gunanya protes Mat Sabu terhadap Amerika sedangkan berbilion-bilion dibelanjakan untuk Boeing?

"Mereka berpura-pura membantah tentang pembunuhan beramai-ramai sedangkan mereka membantu Amerika untuk menolong pembunuh bersiri (PM Israel Benjamin) Netanyahu.

“Berapa banyak darah Palestin yang perlu mengalir atau tumpah sebagai pertukaran untuk kekayaan yang mereka terima?" tambahnya.

Semalam, beberapa NGO pro-Palestin turut menggesa perjanjian Boeing itu dibatalkan, dengan alasan ia bercanggah dengan sokongan berterusan Malaysia terhadap hak Palestin dan penentangannya terhadap pencerobohan Israel.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan MAG, yang mengendalikan Malaysia Airlines dan Firefly, telah menempah 30 pesawat Boeing 737 - 18 Boeing 737-8 dan 12 Boeing 737-10 - ditetapkan untuk penghantaran menjelang 2030.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS