ADS
mk-logo
Berita
Ucapan politik Hajiji di masjid? Warisan tuntut penjelasan
Diterbitkan:  Mar 30, 2025 10:38 PM
Dikemaskini: Apr 1, 2025 6:07 AM

Parti Warisan mengecam sikap pilih kasih yang jelas apabila ahli politik tertentu dibenarkan berucap di majlis berbuka puasa di masjid.

Ini susulan tularnya satu video yang didakwa menunjukkan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, menyindir pihak pembangkang negeri ketika menghadiri majlis berbuka puasa di sebuah masjid di Sipitang.

Sebaliknya, menurut Ketua Penerangan Warisan, Azis Jamman, Presidennya, Shafie Apdal, berdepan pelbagai sekatan apabila hadir ke program seumpamanya.

Antara lain, terdapat dakwaan beberapa acara terpaksa dipindahkan saat akhir manakala jawatankuasa masjid didakwa menerima ancaman daripada pemimpin tempatan dalam kerajaan jika membenarkan pemimpin pembangkang hadir.

ADS

Azis mempersoalkan sama ada wujud arahan rasmi yang melarang ahli politik — terutamanya dari pihak pembangkang — berucap di masjid.

Jika tiada, soalnya adakah ini bermaksud pemimpin kerajaan telah menyalahgunakan kuasa untuk menghalang pembangkang tanpa sebarang arahan daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Muis).

"Situasi yang tidak sepatutnya berlaku di bulan ramadhan apalagi yang memberi amaran itu adalah rakan seagama dengan Datuk Seri Shafie sendiri. Sekali lagi, kami ingin bertanya, adakah ini arahan Jabatan Agama Islam atau arahan pemimpin-pemimpin kerajaan semata-mata?

"Jika ada arahan seumpama itu, Saya cabar Jabatan Agama Islam, tunjukkan apa kesalahan Shafie sepanjang bulan ramadhan, baik dari segi tingkah lakunya atau ucapannya hingga anda tergamak menyukarkan program-program keagamaan di bulan Ramadan ini?

ADS

"Rakaman ucapan-ucapan shafie masih boleh di dengar di laman facebook rasmi Shafie untuk anda nilai sendiri dan bandingkan pula dengan ucapan Hajiji di perkarangan masjid sempena program berbuka puasanya,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Azis berkata walaupun masjid tidak wajar dijadikan pentas ucapan politik, ia tidak seharusnya menghalang penganjuran program keagamaan yang tidak mengandungi unsur politik.

Dia menyeru rakyat Sabah menonton sendiri rakaman ucapan Shafie di media sosial dan membandingkannya dengan ucapan Hajiji.

Berbeza dengan Hajiji, kata Azis, ucapan Shafie semasa berbuka puasa banyak mengajak umat Islam agar memperbaiki diri dan mendekatkan diri kepada Allah, tanpa sebarang serangan terhadap GRS atau unsur politik.

Dalam konteks itu, Azis mempersoalkan sama ada Hajiji menyampaikan ucapannya sebagai ketua kerajaan atau sebagai pemimpin parti politik.

"Adakah YAB Ketua Menteri berucap sebagai pemimpin negeri atau sebagai Presiden GRS dan PGRS? Jika Hajiji berucap sebagai ketua menteri, amat jelek di dengar apabila Hajiji berceramah politik setelah ada arahan melarang masjid dijadikan pentas politik?

"Jika Hajiji berucap sebagai presiden GRS/PGRS pula, bukankah ini bertentangan dengan arahan kerajaan untuk tidak membenarkan parti politik menggunakan masjid sebagai pentas ceramah politik,” katanya.

Terdahulu, satu video berdurasi 2 minit 11 saat tular menunjukkan Hajiji dikatakan berucap di Masjid Imam Haji Awang Hashim di Sipitang pada Khamis lalu.

ADS

Menjelang pilihan raya yang dijangka diadakan sebelum Disember, Hajiji dilaporkan menggesa pengundi di Sipitang dan kawasan jiran Beaufort agar menyokong pemimpin tempatan demi kesinambungan kemenangan.

"Jangan salah pilih. Jangan dengar apa cerita pembangkang kerana pembangkang ini dan fitnah pembohongan berpisah tiada,” katanya.

Dia turut menyoal pencapaian Shafie sebagai bekas ketua menteri dan menteri kemajuan luar bandar dan wilayah.

"Sekarang inilah yang banyak cakap ini. Pernah menjadi menteri, pernah menjadi ketua menteri. Semasa menjadi ketua menteri dua tahun setengah, apa perancangan pun tiada,” katanya.

Sebagai respons terhadap ucapan itu, Azis mencabar Hajiji supaya menjelaskan jika dia benar-benar percaya Shafie tidak melakukan apa-apa untuk kampung-kampung di Sabah sepanjang perkhidmatannya sebagai menteri persekutuan dari 2009 hingga 2015.

"Jika Hajiji berucap sebagai Presiden GRS/PGRS pula, bukankah ini bertentangan dengan arahan kerajaan untuk tidak membenarkan parti politik menggunakan masjid sebagai pentas ceramah politik?

"Adakah YAB Ketua Menteri benar-benar yakin bahawa ketika Datuk Seri Shafie Apdal menerajui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), beliau tidak pernah melaksanakan projek jalan raya dan bekalan air di kampung-kampung di Sabah?

"Jika YAB Ketua Menteri berani menafikannya, saya boleh senaraikan lokasi-lokasi loji air, jalan kampung, termasuk juga Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang telah dibina di seluruh Sabah, termasuk di kawasan YAB Ketua Menteri sendiri di Tuaran.

"Jadi, kenyataan bahawa 'Shafie tidak buat apa-apa itu' adalah 1,000 peratus fitnah dan pembohongan yang datang dari pemimpin nombor Satu di Sabah," bidasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS