Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa menyifatkan majlis pecah tanah bagi Masjid Madani sebagai detik bersejarah yang melambangkan kemenangan hikmah, kesabaran dan prinsip keutamaan dalam menyelesaikan pertikaian yang sensitif.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Zaliha yang merupakan antara menteri yang hadir di majlis pecah tanah yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, menzahirkan rasa syukur Jakel Tradings akhirnya dapat meneruskan pembinaan masjid tersebut selepas hampir sedekad tertangguh.
“Ini adalah kejayaan pendekatan hikmah yang berpaksikan maqasid syariah dan fiqh al-awlawiyat,” katanya.
Zaliha menjelaskan keutamaan tersebut adalah untuk memastikan umat Islam mempunyai masjid sebagai pusat ibadah dan komuniti, mengekalkan keharmonian dalam masyarakat majmuk, serta memastikan imej Islam terus terpelihara sebagai agama rahmah dan keadilan.
“Apa jua keputusan yang diambil, semuanya telah melalui proses rundingan dan penelitian yang teliti.
“Nasihat keselamatan telah diterima, nasihat perundangan telah dipertimbang dan akhirnya pandangan agama menjadi neraca.
“Jika isu ini boleh diselesaikan melalui kaedah perundangan, tidakkah sepatutnya ia diselesaikan sejak dulu lagi? Tidak perlu mengambil masa sehingga berbelas tahun untuk dileraikan,” katanya lagi.

Pada 25 Mac lalu, jawatankuasa kuil Dewi Sri Pathrakaliamman mengesahkan mereka telah mencapai persetujuan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk memindahkan struktur kuil sedia ada di Jalan Munshi Abdullah, berhampiran Jalan Masjid India, ke tapak baru yang terletak kira-kira 50 meter dari lokasi asal.
Sebelum ini, pihak yang menyokong pengekalan kuil itu menekankan sejarahnya yang telah berusia lebih satu abad sejak zaman penjajahan British.
Namun ramai pengkritik berpendapat kuil tersebut wajar dipindahkan kerana ia tiada hak undang-undang ke atas tanah yang telah dijual DBKL kepada Jakel.
Ia menjadi perdebatan hangat berhubung hak tanah dan sejarah kuil Hindu susulan sidang media oleh Lawyers for Liberty bersama-sama bekas presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan dan anggota jawatankuasa kuil.
Mengulas lanjut, Zaliha membangkitkan ucapan Anwar ketika masjlis hari ini yang menegaskan kepentingan dialog dan kompromi.
“Namun prinsipnya tetap tegas, iaitu masjid ini wajib didirikan di kawasan ini demi menghormati wasiat wakaf, hak ibadah umat Islam dan tuntutan maqasid dalam memelihara agama.
“Ini lambang ketegasan yang lunak. Inilah wajah Malaysia Madani. Tegas dalam prinsip, berhemah dalam pelaksanaan. Menjulang syariat tanpa menyingkirkan hikmah,” katanya lagi.
Terdahulu, Anwar menyifatkan pembinaan masjid ini sebagai suatu “kemenangan” selepas sedekad pembangunan tertangguh.
Anwar juga menegaskan penyelesaian itu dicapai atas usaha menteri serta pihak lain yang terlibat secara langsung, bukan atas “keangkuhan”.
Namun, Anwar menegaskan bahawa kejayaan ini, yang beliau kreditkan kepada pelbagai menteri persekutuan dan pihak berkaitan, bukan dicapai melalui kesombongan terhadap pihak lain.