Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) mencatatkan peningkatan aliran trafik sejak Isnin lalu dengan jangkaan terkini lebih 170,000 kenderaan akan menggunakan lebuh raya tersebut dalam sehari sepanjang musim perayaan Aidilfitri tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif WCE, Lyndon Alfred Felix, berkata lonjakan trafik dijangka bermula hari ini hingga Ahad ini dan kembali meningkat pada 5 hingga 6 April depan.
Menurut beliau, sebagai persediaan menghadapi lonjakan trafik itu, pihaknya telah menambah bilangan pasukan rondaan bagi memastikan kelancaran perjalanan serta memberikan bantuan segera sekiranya berlaku kecemasan.
“Beberapa lokasi utama seperti Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Nyior dan hentian sebelah di sepanjang lebuh raya kini beroperasi sepenuhnya untuk kemudahan pengguna lebuh raya.
“Kami menggalakkan semua pengguna lebuh raya agar mengambil langkah berjaga-jaga dan bertimbang rasa ketika memandu dalam tempoh yang sibuk ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lyndon turut menasihatkan pengguna lebuh raya supaya merancang perjalanan lebih awal dan mengelakkan waktu puncak, terutama pada hari sebelum raya.
Beliau juga menyarankan agar pengguna berhenti rehat di hentian sebelah atau R&R sekiranya keletihan.
“Bagi pengguna kenderaan elektrik (EV), kemudahan pengecasan turut disediakan di beberapa lokasi hentian sebelah WCE, antaranya di SAE, Assam Jawa, Trong, dan Taiping Selatan,” tambahnya.
- Bernama