Gabungan Mangsa-Mangsa Penyeksaan dan Kematian Dalam Tahanan menggesa kerajaan menggubal Akta Anti Penyeksaan.
Ia susulan kematian Prebet Muhammad Muqriz Aseri, 21, daripada Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD), Kem Sri Miri, Sarawak, pada Isnin lalu.
“Kes kematian berturut-turut di dalam tentera dan Universiti Pertahanan Malaysia yang melibatkan kadet menunjukkan keperluan untuk menggubalkan Akta Anti-Penyeksaan dengan segera.
“Akta yang dicadangkan akan meliputi semua pegawai awam termasuk pegawai askar atau pegawai penguatkuasa yang mengendali orang kena tahan atau penangkapan,” kata penyelaras gabungan Syed Mohamad Shariff Syed Muhamed Nur dalam kenyataan.
Semalam, polis menahan dua anggota tentera berpangkat prebet bagi membantu siasatan berhubung kematian Prebet Muhammad Muqriz Aseri di Kem Sri Miri.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata kedua-dua suspek yang berumur 22 dan 24 tahun itu ditahan kira-kira 4.30 petang pada Selasa lalu dan direman selama tujuh hari hingga 2 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Tentera Darat Malaysia (TDM) memaklumkan punca kematian Prebet Muhammad Muqriz adalah akibat trauma tumpul pada dada, iaitu merujuk kepada hentakan kuat di bahagian dada sehingga menyebabkan kerosakan pada jantung.
TDM juga telah menubuhkan lembaga siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca dan faktor yang menyumbang kepada insiden terbabit.
Mengulas lanjut, Syed Mohamad Shariff berkata akta itu akan membolehkan hukuman seumur hidup dikenakan kepada si pelaku selain memecat pegawai awam yang terlibat dan melucutkan hak pencen mereka.
Selain itu, Syed Mohamad Shariff berkata satu tabung perlindungan mangsa juga harus diwujudkan bagi membantu mangsa atau keluarga mangsa penyeksaan.
“Kami meminta perhatian segera kerajaan Madani dalam reformasi institusi bagi mencegahkan penyeksaan dan kematian dalam tahan berlaku lagi di Malaysia,” katanya lagi.
Terdahulu, media melaporkan seorang anggota tentera meninggal dunia dipercayai akibat kecederaan dalaman selepas 'didera' senior di sebuah kem di Miri.
Harian Metro melaporkan kejadian difahamkan berlaku pada 2.15 pagi Isnin lalu, apabila mangsa yang sedang tidur di berek bujang kem dikejutkan oleh dua anggota senior untuk bersahur.

Namun sebelum bersahur, dua anggota senior tersebut mengarahkan mangsa untuk melakukan 'commando rest' (pacak kepala di lantai, tangan ke belakang) selama dua minit dan tekan tubi sebanyak 20 kali.
Selepas dimaklumkan kepada ketua bilik bujang berek berkenaan, mangsa dihantar ke Hospital Miri namun doktor mengesahkan mangsa meninggal dunia pada 3.05 pagi.
Kementerian Pertahanan sebelum ini berdepan dengan kontroversi berikutan beberapa insiden penderaan dan penyeksaan di akademi ketenteraan.
Antaranya membabitkan kes kematian Pegawai Kadet Tentera Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain pada 2017.