MCA menggesa kerajaan bertindak telus dalam melaksanakan keperluan baru Kementerian Pendidikan berhubung lencana Jalur Gemilang bagi pakaian seragam sekolah.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Pendidikan MCA Felicia Wong Yin Ting berkata walaupun langkah itu adalah positif di tengah-tengah peningkatan isu perkauman dan agama, masih terdapat persoalan yang perlu dijawab mengenai inisiatif itu.
"Bagaimanakah proses tender untuk pengeluaran lencana ini akan dijalankan?" soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
"Kementerian Pendidikan harus mendedahkan nama syarikat yang diberikan kontrak ini dan memberikan butiran mengenai kos yang perlu dibayar oleh ibu bapa dan penjaga," katanya.
Dia menambah bahawa Putrajaya mempunyai kewajipan untuk membuktikan bahawa semua kontrak kerajaan melalui proses yang betul dan tadbir urus yang bebas daripada kronisme, nepotisme atau amalan rundingan langsung.
Dia turut mencadangkan agar sekolah diberi autonomi untuk membeli lencana Jalur Gemilang daripada pembekal sah yang memenuhi spesifikasi ditetapkan kementerian.
Dalam pekeliling kementerian yang dikeluarkan semalam, Kementerian Pendidikan berkata garis panduan pemakaian lencana - berkuat kuasa 21 April - telah diluluskan oleh kabinet pada 14 Feb.
Keperluan itu terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, kolej matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG), manakala institusi pendidikan lain digalakkan untuk turut serta.
Kementerian juga akan menyediakan dua lencana secara percuma kepada semua pelajar tahun akademik 2025/2026.
Sementara itu, Wong berkata langkah yang lebih proaktif dan mendalam perlu untuk menyemai rasa cinta dan patriotisme di samping memupuk perpaduan, disiplin dan tanggungjawab.
Justeru, dia mengesyorkan penyemakan semula kurikulum sekolah untuk menyemai nilai saling hormat-menghormati, muhibah dan persefahaman.
"Lima prinsip Rukun Negara yang dibacakan setiap minggu oleh murid-murid sekolah juga harus diraikan dengan jelas dalam pelajaran pendidikan sivik," katanya.
Dia berkata mata pelajaran Sejarah juga harus lebih komprehensif untuk memastikan pelajar lebih memahami konteks masyarakat pelbagai budaya negara.
Dia juga berharap Kementerian Pendidikan tidak lupa untuk menangani isu-isu penting lain yang masih belum selesai, seperti beg sekolah yang berat, kekurangan guru, beban kerja tambahan untuk pendidik, amalan merokok dan vape dalam kalangan pelajar, buli dan banyak lagi.