ADS
mk-logo
Berita
Warisan kecam rancangan sambut hari jadi Musa selama 3 bulan
Diterbitkan:  Mar 27, 2025 2:39 PM
Dikemaskini: 7:33 AM

Sabah, negeri yang mempunyai kadar kemiskinan tertinggi di negara ini, bakal menganjurkan sambutan ulang tahun selama tiga bulan untuk Tuan Yang Terutama (TYT) Musa Aman.

Berita mengenai perayaan itu hadir ketika SPRM menyiasat beberapa Adun - termasuk menantu Musa, Arifin Arif - berhubung dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan lesen cari gali mineral.

Bagi Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking, menggunakan dana awam untuk sambutan dengan tempoh panjang itu adalah tidak boleh diterima.

"Secara peribadi, jika pembayaran kos yang akan diguna demi merayakan hari jadi TYT Sabah ini datang daripada dana persendirian dan bukan daripada dana kutipan cukai yang akan dijenamakan sebagai duit keerajaan, tak ada isu.

ADS

"Tetapi, merayakan selama tiga bulan dan mengunakan dana yang datang daripada cukai dibayar rakyat atau cukai yang datang daripada hasil bumi Sabah, semestinya ada isu," katanya dalam catatan Facebook.

Adun Moyog itu berhujah bahawa sambutan sehari sudah mencukupi, dan dana negara harus diutamakan untuk keperluan penting seperti biasiswa pelajar, pembaikan jalan, pembangunan kemahiran, dan peningkatan komuniti.

"Tidak perlu marah saya kerana mungkin saya hanya dua atau lima orang yang mungkin tidak setuju mengunakan duit cukai dari rakyat atau kutipan hasil bumi Sabah untuk membuat perayaan terlampau panjang ketika kerajaan seharusnya tumpu untuk membaiki kegagalan dan kelemahan mereka," tambahnya.

"Yang peliknya, saya rasa TYT sendiri mungkin tidak menyokong cadangan gila pentadbirannya ini," katanya lagi.

Sementara itu, The Star melaporkan bahawa Timbalan Ketua Menteri Dr Joachim Gunsalam berkata beberapa siri acara akan berlangsung dari hari lahir Musa pada 30 Mac hingga 21 Jun.

Pada 3 Feb, ahli perniagaan yang mendedahkan skandal rasuah Sabah, mendakwa menantu Musa telah menawarkan penyelesaian kepadanya.

Dua hari kemudian, Arifin membuat laporan polis terhadap artikel Malaysiakini. Tidak sampai 24 jam kemudian, ahli perniagaan itu membuat laporan balas terhadap menteri negeri itu.

Polis tidak mendedahkan status siasatan terhadap kedua-dua laporan itu.

Sejak November lalu, ahli perniagaan itu telah mendedahkan sejumlah sembilan video dan banyak mesej Whatsapp yang membabitkan Adun, termasuk Arifin.

Ahli perniagaan itu mendakwa video dan mesej itu mendokumentasikan rasuah yang dia berikan kepada Adun sebagai pertukaran untuk lesen cari gali mineral.

Ketua Menteri Hajiji Noor menuduh pemberi maklumat itu bersubahat dengan mereka yang mempunyai kepentingan untuk menjejaskan pentadbirannya.

Ahli perniagaan itu juga dituduh menjadi sebahagian daripada kartel yang ingin memonopoli perlombongan di Sabah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS