ADS
mk-logo
Berita
Masjid Madani jadi tempat perkenal Islam kepada orang ramai
Diterbitkan:  Mar 27, 2025 12:35 PM
Dikemaskini: 7:30 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Masjid Madani yang akan dibangunkan di Jalan Masjid India di Kuala Lumpur, menjadi pusat komuniti setempat kepada umat Islam dan masyarakat di sekitar ibu kota.

Berucap pada Majlis Pecah Tanah Pembangunan Masjid Madani hari ini, beliau berkata masjid empat tingkat yang berkeluasan 12,142 kaki persegi itu, turut mengandungi kemudahan seperti ruang perpustakaan, dewan persidangan, ruang seni dan budaya untuk memperkenalkan Islam kepada orang ramai.

“Masjid ini tidak hanya memberikan maksud masjid di tengah kota yang memberikan satu falsafah tentang pembangunan kita berakar kepada akidah Islam, yang meletakkan nilai dan akhlak yang baik, berusaha menghimpunkan umat Islam, tetapi juga merangkul dan menunjukkan kasih sayang kepada manusia di sekeliling.

“Fadillah (Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof) pun sebut dia cadangkan supaya ada ruang budaya, seni, tempat masyarakat berkumpul di masjid ini sebab ini masjid kota dan supaya rakan-rakan bukan Islam tak rasa kekok, kenal Islam yang sederhana, Islam yang penuh dengan rahmah dan hikmah,” kata beliau.

ADS

Mengulas mengenai isu pembinaan masjid itu sebelum ini, Perdana Menteri sekali lagi menegaskan rundingan secara baik perlu bagi menjaga keharmonian antara kaum.

“Kalau lihat dalam kemelut ini, memang betul rakan-rakan saya dalam Jemaah Menteri tahu, saya cakap dengan tegas, runding, tolak ansur tetapi tidak berganjak daripada keputusan kita wajib masjid didirikan di sini.

“Ini bukan nak tunjuk kemenangan kita. Ini kemenangan bukan kerana keangkuhan, tetapi kerana kita mampu menunjukkan kebijaksanaan.

“Kekuatan dan kemuliaan Islam bukan dengan keangkuhan. Itu adalah falah...falah itu apabila kita dapat muncul sebagai contoh dan peribadi yang baik, adil, penyayang dan bukannya dengan bengis atau kebencian,” kata beliau.

ADS

Pada masa sama, Anwar, yang juga Menteri Kewangan turut membidas segelintir kelompok Islam dan Hindu yang melampau melontarkan reaksi negatif tanpa memikirkan kesan buruk akibat daripada kenyataan mereka tanpa menyatakan fakta sebenar.

“Kita minta dirikan masjid di kawasan ini dan diwakafkan, (tapi) ada kuil, (jadi) pindahkan (ia). Runding dengan baik.

“Ini kita sudah capai dan saya berterima kasih kepada semua, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jabatan Wilayah Persekutuan dan rakan-rakan bukan Islam, Gobind (Menteri Digital Gobind Singh Deo) dan Ramanan (Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R Ramanan) juga bantu menjelaskan.

“Kalau semua orang nak jadi hero kaum mereka sendiri, rosak negara ini. Nak jadi pemimpin tapi bercakap bagi pihak dan pertahankan sentimen benci kaum, tak kira hukum, tak kira benar atau palsu,” kata Perdana Menteri.

Selain itu, Anwar mahu semua pihak yang terlibat dalam pembinaan masjid itu termasuk Jakel Group dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), untuk bekerjasama mencari jalan mengukuhkan semula persahabatan dan perpaduan antara semua masyarakat.

Beliau berkata Malaysia harus berdiri sebagai sebuah negara yang memberikan tumpuan kepada jaminan keamanan dan keselamatan.

Terdahulu, majlis berkenaan turut dihadiri Fadillah, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dan Pengarah Urusan Kumpulan Jakel Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel.

Masjid Madani yang berkonsepkan identiti Malaysia dijangka siap dalam masa 24 bulan daripada tarikh pembinaan dan mampu menampung kira-kira 2,900 jemaah pada satu-satu masa, termasuk 592 jemaah di ruang utama solat.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS