Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini berkata penyelesaian yang dicapai dalam isu berkaitan tapak Masjid Madani di Jalan Munshi Abdullah di Kuala Lumpur bukanlah bertujuan menunjukkan keangkuhan.
Anwar menegaskan penyelesaian itu dicapai atas usaha menteri serta pihak lain yang terlibat secara langsung.

"Kemenangan kita ini bukan kerana keangkuhan.
"Kemenangan ini kerana kita mampu menunjukkan kebijaksanaan, kekuatan dan kemuliaan Islam. Bukan keangkuhan,” katanya dalam ucapan di majlis pecah tanah masjid tersebut.
Majlis itu diadakan susulan isu hangat mengenai status tanah di sepanjang Jalan Munshi Abdullah, yang dimiliki oleh syarikat tekstil Jakel Tradings Sdn Bhd tetapi diduduki oleh Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman sementara menunggu pemindahan ke lokasi baru yang terletak 50 meter dari tapak asal.
Anwar juga berkata penyelesaian itu dapat dicapai apabila seseorang Muslim mampu menunjukkan contoh teladan yang baik kepada orang lain.
"Bagi saya itu falah. Falah itu bila kita dapat menunjukkan contoh yang baik. Ini orang Islam dengan peribadi yang baik. Ehsan, penyayang, adil. Bukan contohnya bengis dan benci. Ini tidak pernah menjadi dasar kerajaan,” katanya.

Mengulas mengenai Masjid Madani, Anwar berkata nama masjid itu – yang berasal dari perkataan Arab “Deen” atau cara hidup – adalah prinsip yang dipegang bukan sahaja oleh pentadbirannya, tetapi juga asas kepada sebuah tamadun.
Terdahulu dalam ucapannya, Anwar berkata dia tetap yakin untuk meneruskan majlis hari ini dan menyerahkan semua perkara yang berbangkit kepada menteri-menteri bertanggungjawab.
Anwar kemudian meneruskan upacara pecah tanah sebelum meninggalkan lokasi dan diiringi Jakel Mall, melalui pintu masuk kuil di mana dia sempat bertemu secara ringkas dengan pengerusi jawatankuasa kuil, R Parthiban.
Parthiban memberitahu Malaysiakini bahawa dalam pertemuan ringkas itu, Anwar menegaskan keperluan untuk semua rakyat Malaysia hidup dalam harmoni.
Selepas beberapa hari perbincangan diadakan - termasuk menjadi isu perdebatan di media sosial, jawatankuasa kuil yang didakwa berusia 130 tahun itu bersetuju untuk berpindah ke tapak baru seluas 4,000 kaki persegi, kira-kira 50 meter dari lokasi asal di sepanjang Jalan Munshi Abdullah.
Tanah tersebut juga akan diwartakan untuk kuil berkenaan.
