ADS
mk-logo
Berita
Pembangkang gesa kerajaan tubuhkan jawatankuasa kaji URA
Diterbitkan:  Mar 27, 2025 10:44 AM
Dikemaskini: 2:44 AM

Pembangkang menggesa kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi mengkaji cadangan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA).

Dalam satu kenyataan, Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin berkata terdapat kebimbangan yang berasas mengenai RUU tersebut.

Tegasnya jika RUU itu tidak diteliti dengan cermat oleh kerajaan, kesannya adalah ke atas rakyat tanpa mengira warna kulit atau agama.

"Sebab itu dalam sesi penerangan RUU Pembaharuan Semula Bandar bersama (bekas perdana menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad semalam, ramai pemegang taruh termasuk dari masyarakat India dan Cina tampil ke hadapan mempertahankan hak rakyat.

"Perikatan Nasional akan menentang sebarang ketidakadilan dalam Akta ini dan pada masa yang sama menggesa kerajaan agar menubuhkan jawatankuasa yang dianggotai semua pihak berkepentingan termasuk wakil pembangkang dan NGO bagi memastikan masa depan seluruh rakyat terpelihara," kata timbalan pengerusi PN itu di Facebook semalam.

ADS

Namun, Hamzah tidak menghuraikan lebih lanjut mengenai cadangannya berkaitan jawatankuasa khas tersebut.

Pembangkang sebelum ini mengkritik usaha kerajaan persekutuan untuk memperkenalkan URA, di mana sesetengah pihak mendakwa ia akan mengusir orang Melayu miskin dari kawasan bandar.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dari Muda, menyifatkan rang undang-undang itu sebagai "akta merampas rumah" dan memberi amaran bahawa ia hanya menguntungkan pemaju dan merugikan golongan berpendapatan rendah.

ADS

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, pula menggambarkan akta yang dicadangkan ini sebagai satu taktik halus untuk mengusir orang Melayu dan India miskin dari kawasan bandar, sementara sayap pemuda parti itu mengancam untuk menggerakkan satu himpunan bantahan.

Sebagai respons kepada kritikan tersebut, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata URA tidak akan memberi kerajaan kuasa untuk menukar status pemilikan lot tanah.

Anwar juga menegaskan bahawa URA tidak akan mengubah peratusan pemilikan bumiputera di kawasan berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS