Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi tempoh sebulan kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) untuk mengemukakan pendekatan hala tuju baru agensi itu.
Anwar berkata ia bertujuan bagi menjamin masa hadapan yang lebih baik kepada peneroka.
"Saya akan pastikan seluruh kekuatan jentera kerajaan, Kementerian Kewangan dan pakar lain untuk memastikan kita puas hati dengan pendekatan baharu, hala tuju baru (Felda).
"Hal ini supaya dalam masa singkat ini kita dapat memberi keyakinan kepada ratusan ribu peneroka bahawa kita sudah sampai ke tahap lonjakan…itu amat perlu," kata beliau dalam ucapan Majlis Amanat Perdana dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Felda di Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar, Timbalan Menteri Kerja Raya Ahmad Maslan dan Pengerusi Felda Ahmad Shabery Cheek.
Perdana menteri turut memberi jaminan bahawa kerajaan Madani akan memastikan Felda di landasan yang ampuh dengan matlamat untuk mengangkat martabat Felda sekali gus menjamin masa depan yang lebih baik buat peneroka dan ekonomi negara.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengucapkan tahniah kepada agensi itu atas usaha mengangkat semula keupayaan Felda selain menegaskan agensi itu tidak boleh lagi kekal dalam hala tuju sedia ada.
Katanya, kerajaan juga memberikan suntikan hampir RM1 bilion setahun bagi kelangsungan bukan sahaja untuk Felda tetapi juga terhadap masa depan peneroka.
Majlis berbuka puasa bersama perdana menteri itu disertai 1,300 jemputan termasuk 400 wakil peneroka generasi baharu dari Felda Trolak di Perak, Felda Mempaga dan Felda Jengka di Pahang serta pegawai dan wakil anak syarikat Felda.
Terdahulu, Anwar mengadakan lawatan ke pejabat perdana menteri di menara itu dan disusuli dengan mesyuarat bersama pihak pengurusan tertinggi Felda.
-Bernama