Polis mengesahkan telah membuka kertas siasatan terhadap peniaga belon atau ‘Abang Belon’ kerana menghalang tugas penjawat awam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata ia susulan insiden membabitkan penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan seorang peniaga belon di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur.
“Semasa proses penyitaan berlaku pergelutan di antara anggota penguatkuasa DBKL dengan penjaja tersebut. Selain itu, beberapa orang penjaja tepi jalan yang lain telah membuat provokasi.
“Satu laporan polis telah dibuat oleh anggota penguatkuasa DBKL pada 29 Mac 2025 berkenaan kejadian tersebut dan kes telah disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya dalam satu kenyataan.
Sulizmie mengulas video tular melibatkan seorang penjaja belon yang dikasari penguatkuasa DBKL.

Terdahulu, DBKL mendakwa insiden kekasaran itu bermula apabila peniaga tanpa lesen–yang dirujuk sebagai “Abang Belon” di media sosial–menolak penguat kuasa dan tidak mengendahkan arahan beredar kerana mengganggu lalu-lintas.
Jalan TAR terkenal sebagai pusat beli belah jalanan popular di ibu kota.
Bagaimanapun kejadian malam tadi menerima kritikan keras Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim yang menyifatkan tindakan penguatkuasa itu sebagai keji dan biadab.
Mengulas lanjut Sulizmie berkata pihaknya akan menjalankan siasatan dengan telus dan adil mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan.
“Tindakan akan diambil kepada mana-mana pihak yang melakukan kesalahan,” tambahnya.