ADS
mk-logo
Berita
Kuala Terengganu turut tutup operasi perniagaan pada 1 Syawal
Diterbitkan:  Mar 26, 2025 5:20 PM
Dikemaskini: 9:20 AM

Terengganu mengikut jejak Kelantan mengarahkan supaya aktiviti perniagaan di sekitar bandaraya Kuala Terengganu ditutup pada sambutan Aidilfitri 1 Syawal ini.

Susulan itu Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengeluarkan arahan semua pasar raya dan premis perniagaan tertentu ditutup.

Bagaimanapun ada beberapa premis perniagaan tertentu dibenarkan untuk beroperasi selepas jam 1 petang.

Makluman rasmi MBKT menyatakan semua kompleks beli-belah serta pasar raya besar akan ditutup sepenuhnya sepanjang hari pertama Aidilfitri.

Bagaimanapun premis perniagaan seperti premis makanan segera, kedai runcit 24 jam, dan kedai serbaneka termasuk 7-Eleven, Treleaf Mart, DIY, serta ECO Shop hanya dibenarkan beroperasi selepas jam 1 petang pada hari tersebut.

ADS

Arahan itu dikeluarkan bagi membolehkan pekerja dan peniaga turut sama meraikan perayaan bersama keluarga masing-masing.

“MBKT memohon kerjasama pihak tuan dan puan untuk memastikan supaya sebarang aktiviti perniagaan tidak beroperasi pada hari dan waktu yang ditetapkan.

“Jika didapati pihak tuan dan puan gagal mematuhi arahan ini, tindakan undang-undang akan dikenakan berpandukan undang-undang yang digunapakai oleh majlis,” kata makluman itu.

ADS

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan Hilmi Abdullah menjelaskan kerajaan negeri mempunyai punca kuasa untuk mewajibkan operasi premis perniagaan ditutup pada 1 Syawal ini.

Menurutnya, punca kuasa itu berada di bawah undang-undang kecil, pelesenan, perniagaan dan perindustrian.

Jelas Hilmi, pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh mengarahkan mana-mana aktiviti perdagangan, perniagaan atau perindustrian untuk tidak dibenarkan berjalan pada suatu tempat atau premis berlesen melainkan pada waktu yang ditetapkan oleh majlis.

Dia juga menjelaskan arahan tersebut hanya dikuatkuasakan pada hari raya pertama dan sepatutnya tidak timbul sebarang isu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS