ADS
mk-logo
Berita
Prebet Muqriz Aseri mati akibat dikasari - TDM
Diterbitkan:  Mar 26, 2025 3:43 PM
Dikemaskini: 8:18 AM

Siasatan awal Tentera Darat Malaysia (TDM) mendapati terdapat unsur dikasari yang dipercayai penyebab kematian Prebet Muhammad Muqriz Aseri, yang berusia 21 tahun pada awal pagi semalam.

Menerusi satu kenyataan media, TDM berkata, laporan awal yang diterima hasil bedah siasat semalam yang dijalankan di Hospital Miri, Sarawak, punca kematian adalah akibat trauma tumpul pada dada, iaitu merujuk kepada hentakan kuat di bahagian dada sehingga menyebabkan kerosakan pada jantung.

“Siasatan awal yang dilaksanakan oleh pasukan mendapati terdapat unsur ‘manhandling’ yang dipercayai penyebab kematian allahyarham.

“Justeru, TDM telah menyerahkan kes ini kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut dan turut menubuhkan lembaga siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca dan faktor yang menyumbang kepada insiden ini, “ kata kenyatan itu.

Jeneral Muhammad Hafizuddeain Jantan
ADS

Ia juga menyebut Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Muhammad Hafizuddeain Jantan memandang serius kejadian tersebut dan berjanji akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus dan adil.

Katanya, TDM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana anggota yang terlibat dan didapati bersalah di dalam insiden itu.

“TDM juga berharap orang ramai tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.

“Terkini, jenazah telah diterbangkan ke Kuala Lumpur dan telah selamat dikebumikan pada malam tadi di Tanah Perkuburan Masjid Al-Islamiah, Kampung Lindungan, Petaling Jaya, Selangor.

ADS

“PTD turut berdukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan berharap mereka bertabah dengan kehilangan ini,” kata kenyataan itu.

Sebelum itu, media melaporkan seorang anggota tentera meninggal dunia dipercayai akibat kecederaan dalaman selepas 'didera' senior di sebuah kem di Miri.

Harian Metro melaporkan kejadian difahamkan, berlaku pada 2.15 pagi Isnin lalu, apabila mangsa yang sedang tidur di berek bujang kem di Miri dikejutkan oleh dua anggota senior untuk bersahur.

Namun sebelum bersahur, dua anggota senior mengarahkan mangsa untuk melakukan 'commando rest' (pacak kepala di lantai, tangan ke belakang) selama dua minit dan tekan tubi sebanyak 20 kali.

Mangsa yang berpeluh kemudian berdiri namun terus pitam dan kejadian itu kemudian dimaklumkan kepada seorang anggota berpangkat Koperal yang juga ketua bilik bujang di berek berkenaan.

Ketua bilik bujang itu menghantar anggota ke Hospital Miri namun doktor mengesahkan mangsa meninggal dunia pada 3.05 pagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS