Kertas siasatan polis terhadap pendakwah Islam, Zamri Vinoth, yang didakwa menghina agama Hindu melalui catatannya di Facebook baru-baru ini, masih berada di Jabatan Peguam Negara (AGC).
Ketua Polis Negara Razarudin Husain mengesahkan perkara itu ketika dihubungi awal hari ini.
"Kertas siasatan masih dengan AGC," katanya dalam mesej teks ringkas.

Malaysiakini menghubungi ketua polis itu untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai kes terhadap Zamri dan satu lagi siasatan polis terhadap tiga penyampai radio Era FM yang didakwa mempersendakan upacara keagamaan Hindu.
Pada 12 Mac, Razarudin dilaporkan berkata polis telah menyerahkan hasil siasatan mereka terjadap Zamri kepada AGC.
Dia juga memaklumkan bahawa polis menerima hampir 900 laporan terhadap pendakwah kontroversi itu.
Zamri, dalam catatan di Facebook yang kemudiannya dialih keluar oleh platform itu tetapi kemudian memuatnaikkannya semula, mendakwa pembawa Kavadi semasa perayaan Thaipusam ibarat individu yang dirasuk dan mabuk.

Hantaran berkenaan kemudiannya dikeluarkan daripada platform media sosial itu pada 9 Mac berikutan permintaan daripada SKMM.
Bagaimanapun, Zamri dilaporkan memuatnaikkanny semula di akaun Facebooknya sejurus selepas ia diturunkan, menyebabkan ahli parlimen DAP RSN Rayer menggesa pihak berkuasa menangkap pendakwah itu.