Bekas presiden Dewan Negara Rais Yatim membuat laporan polis terhadap sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) penyatuan semula pro-China, sambil mempersoalkan jika ia cuba menyebarkan ideologi komunis Malaysia.
Menurut akhbar rasmi PAS, Harakah Daily, Rais pada sidang media semalam, menyatakan bahawa dia menerima video berdurasi 2 minit 57 saat malam sebelumnya mengenai sebuah NGO yang dikenali sebagai Persatuan Promosi Penyatuan Secara Aman Satu China di Malaysia.

“Dalam klip video itu dinyatakan bahawa badan atau organisasi itu tidak berdaftar dan mempromosi unsur-unsur prasangka yang merumitkan keselamatan dalam negeri.
“Bagi seseorang atau sekumpulan aktivis yang mempromosi ajaran dan kepentingan komunis di Malaysia, ini dikhuatiri akan menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya yang dipetik akhbar tersebut.
Rais, yang sebelum ini pernah menjadi menteri luar dan juga penerangan, mendakwa fahaman dan pendirian komunisisme secara beransur-ansur diterapkan di negara ini.
Sebagai contoh, dia mendakwa bahawa pelajar di sebuah sekolah di Pulau Pinang pernah menyanyikan lagu patriotik asing yang mengandungi unsur-unsur komunisisme.

Selain itu, bekas pemimpin Umno yang kini bersama Bersatu itu juga mengketengahkan peristiwa menaikkan bendera China di Malaysia dan menyatakan bahawa persatuan berkenaan secara aktif cuba mempromosikan konsep "satu China" di negara ini.
Agenda tersembunyi
Sehubungan itu, Rais mahu polis menyiasat Persatuan Promosi Penyatuan Secara Aman Satu China di Malaysia itu dan memantau kegiatannya.
“Saya difahamkan media berbahasa Cina telah lama membuat liputan kegiatan pertubuhan itu, tetapi pihak berkuasa kelihatan tidak melakukan tindakan.
“Dikhuatiri persatuan tidak berdaftar ini mempunyai tujuan-tujuan hendap dan tersembunyi yang nanti akan mempengaruhi orang ramai untuk menerima amalan komunis dalam kalangan sebahagian masyarakat Malaysia,” katanya.

Carian dalam talian menunjukkan bahawa persatuan tersebut mematuhi prinsip "satu China" dan mengambil bahagian secara aktif dalam usaha mempromosikan hubungan rentas selat yang aman antara China dan Taiwan sambil menentang campur tangan pihak ketiga.
Persatuan itu dilaporkan diketuai oleh ahli perniagaan Koo Yuen Kim.
Video yang dirujuk oleh Rais adalah ringkasan berbahasa Melayu berdasarkan video berbahasa Cina yang lebih panjang, kedua-duanya dihasilkan oleh pencipta kandungan dalam talian yang sama.
Dalam video asal yang diterbitkan pada 20 Mac, berdurasi 11 minit dan 31 saat, pencipta kandungan mempersoalkan sama ada kumpulan itu didaftarkan dengan betul dan jika mereka dibiayai oleh Parti Komunis China (PKC).

"Saya rasa kerajaan Malaysia patut menyiasat mereka ini, siapa mereka ini? Mereka patut disiasat sama ada mereka mengambil wang daripada PKC atau tidak. Jika mereka didapati menerima wang PKC, adakah itu satu pengkhianatan?
"Persatuan di Malaysia lazimnya tidak akan kisah jika China dan Taiwan digabungkan semula mahupun Taiwan akan merdeka. Ini soal China dan Taiwan, apa kaitannya dengan Malaysia?," katanya.