Pertunjukan fesyen unik dikenali sebagai "Trash Walk" atau kempen #BazirRamadan pada 11 Mac lalu di Bazar Pantai Dalam mencuri perhatian ramai.
Berbeza daripada pertunjukan fesyen konvensional, acara anjuran MYSaveFood Malaysia bersama NGO Pemuda Gema membawa nasihat isu pembaziran makanan semakin membimbangkan, khususnya sepanjang bulan Ramadan — yang sepatutnya mengajar kesederhanaan.
Timbalan Pengarah MYSaveFood, Ainul A’syara Kamal menjelaskan pertunjukan fesyen ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat dengan mengetengahkan kostum yang dihasilkan daripada sisa dan lebihan makanan yang dikumpulkan dari bazar Ramadan.
“Kami menggunakan makanan terbuang atau lebih mudah difahami sebagai sampah makanan yang merupakan hasil pembaziran di bazar Ramadan,” katanya.

Menurut Ainul, pendekatan melalui fesyen dipilih kerana kaedah kesedaran secara tradisional sering kali gagal menarik perhatian. Sebaliknya, penggabungan elemen fesyen yang unik dan berani kata aktivis itu dilihat lebih berkesan menyampaikan mesej.
“Apabila kempen kesedaran biasa kurang mendapat perhatian, cara ini membolehkan kita mencerminkan tabiat masyarakat setiap kali menyambut Ramadan,” tambahnya.
Walaupun hanya dirancang sebagai acara sekali sahaja, keunikan "Trash Walk" mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan masyarakat. Ia dianggap sebagai yang pertama menggunakan fesyen sebagai medium menyuarakan isu pembaziran makanan di bazar Ramadan.
Dalam pada tu, Ainul turut menegaskan pembaziran makanan bukan sahaja merugikan dari sudut kewangan, tetapi juga membawa kesan negatif terhadap alam sekitar.

“Ia bukan sekadar pembaziran wang ringgit, tetapi juga menyumbang kepada pelepasan karbon yang tinggi,” jelasnya.
Penghasilan kostum “Trash Walk” kata Ainul menuntut ketelitian dan daya kreatif yang tinggi.
Setiap rekaan dihasilkan menggunakan bahan yang tidak digunakan atau dianggap sebagai "sampah makanan", katanya menjadikan ia simbolik terhadap isu yang diperjuangkan.
Ainul berharap inisiatif ini juga dapat mengubah perspektif masyarakat dan menggalakkan mereka untuk lebih menghargai sumber makanan yang dimiliki.

MYSaveFood Malaysia turut berkata mereka menyasarkan kempen ini memberi kesan yang mendalam kepada masyarakat, serta mendorong perubahan sikap terhadap pembaziran makanan — bukan hanya sepanjang Ramadan, tetapi sepanjang tahun.
Statistik semasa mendedahkan betapa seriusnya isu ini. Pada tahun 2024, sebanyak 60,000 kilogram makanan tidak terjual di bazar Ramadan — jumlah yang mencukupi untuk memberi makan kepada 120,000 individu dengan anggaran 500 gram setiap hidangan.
Fenomena ini menggambarkan budaya membeli secara berlebihan yang semakin menular dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Sejak sembilan tahun lalu, MYSaveFood aktif bekerjasama dengan peniaga bazar di seluruh negara untuk mengurangkan pembaziran makanan.

Hasil usaha berterusan, pada 16 Mac 2025, organisasi ini berjaya menyelamatkan sebanyak 46,208 kilogram makanan tidak terjual daripada 108 bazar Ramadan di seluruh negara, dengan nilai pembaziran yang dianggarkan mencecah RM559,199.
Menurut Ainul, makanan yang diselamatkan itu kemudian diagihkan kepada golongan memerlukan bagi mengelakkan ia berakhir di tong sampah.
"Kempen #BazirRamadan bukan sekadar peringatan, tetapi satu seruan untuk kita semua mengubah sikap dan menghargai setiap rezeki yang diterima.
"Kita tidak seharusnya membiarkan pembaziran menjadi satu kebiasaan di bulan penuh keberkatan ini.

"MYSaveFood turut mengalu-alukan penyertaan orang ramai sebagai sukarelawan dalam usaha menangani masalah ini. Sama ada sebagai pembeli atau peniaga, kita semua memainkan peranan dalam membawa perubahan dan menghentikan budaya pembaziran," ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi turut menzahirkan kebimbangan mengenai isu berkenaan.
“Saban tahun, berpuluh ribu tan makanan terbuang sepanjang bulan Ramadan.
“Bulan ini mengajar kita untuk menghargai rezeki dan berkongsi dengan mereka yang memerlukan.
“Jangan biarkan makanan yang masih elok berakhir di tong sampah.
“Lebih baik disedekahkan kepada mereka yang memerlukan.
“Mari kita jadikan Ramadan ini lebih bermakna dengan mengamalkan kesederhanaan dan mengurangkan pembaziran,” katanya pada hantaran di media sosial.