Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan pelaksanaan larangan pameran produk merokok di kaunter jualan berkuat kuasa 1 April bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
Larangan ini melibatkan lebih 51,000 kedai yang menjual produk merokok dan bertujuan untuk mengurangkan pendedahan serta promosi secara tidak langsung terhadap produk tembakau kepada pengguna, terutamanya golongan muda.
Namun, perbincangan mengenai keperluan tempoh tambahan bagi pemasangan "almari bertutup" harus dikaji semua.
Cadangan penggunaan almari bertutup sebagai kaedah untuk menghalang pameran produk merokok bukanlah penyelesaian yang berkesan.
Almari tertutup yang diletakkan pada paras mata boleh dieksploitasi dengan membiarkan pintu gelangsar terbuka semasa waktu puncak, sekali gus terus mendedahkan produk-produk kepada pelanggan bukan sasaran, termasuk kanak-kanak.
Sebaliknya, produk merokok sepatutnya disimpan di bahagian bawah kaunter dalam ruang laci, bukan rak almari, bagi memastikan kepatuhan sebenar terhadap larangan pameran produk merokok.
Naratif industri perlu dibetulkan
Industri tembakau secara berkala mendakwa bahawa peratusan tinggi produk tembakau di pasaran adalah tidak sah atau diseludup.
Namun, pinak industri sendiri mempunyai rekod lengkap mengenai identiti peruncit produk tembakau, lokasi premis, dan juga jumlah jualan harian mereka.
Hakikatnya, syarikat pengeluar produk tembakau mempunyai rangkaian pengedaran yang luas, termasuk van penghantaran yang beroperasi setiap hari, menunjukkan bahawa industri itu sendiri memiliki kawalan penuh terhadap pasaran dan mengetahui pihak yang terlibat dalam pemasaran produk tembakau tidak sah.
Fakta yang menyokong kawalan tembakau melalui percukaian:
(1) Percukaian meningkatkan harga dan mengurangkan penggunaan
Prinsip asas ekonomi menunjukkan bahawa apabila harga rokok meningkat melalui cukai, permintaan akan menurun, terutama di kalangan perokok muda dan golongan berpendapatan rendah.
Kajian menunjukkan bahawa permintaan terhadap rokok di Malaysia adalah tidak elastik (-0.596), tetapi masih cukup sensitif untuk mengurangkan penggunaan apabila harga meningkat.
Negara seperti UK dan Filipina berjaya menggunakan kadar merokok secara ketara melalui peningkatan cukai secara agresif.
(2) Meningkatkan hasil kerajaan untuk kawalan merokok
Kenaikan cukai rokok bukan sahaja mengurangkan penggunaan tetapi juga meningkatkan hasil cukai kerajaan, yang boleh digunakan untuk membiayai program kesihatan awam dan kempen berhenti merokok.
Model cukai yang optimum perlu memastikan cukai cukup tinggi untuk mengurangkan penggunaan tetapi tidak memberi ruang kepada pasaran gelap.
(3) Menangani isu rokok seludup dan pasaran gelap
Dakwaan bahawa kenaikan cukai akan meningkatkan penjualan rokok haram sering digunakan oleh industri tembakau untuk menentang kawalan cukai. Namun, kajian menunjukkan bahawa negara dengan cukai tinggi tidak semestinya mempunyai kadar rokok seludup yang lebih tinggi.
Negara seperti UK dan Australia berjaya mengawal penyeludupan dengan penguatkuasaan ketat, sistem pengesanan rokok, dan denda tinggi.
Malaysia boleh memperkukuh kawalan melalui penggunaan sistem jejak dan jejak serta penguatkuasaan yang lebih ketat di pintu masuk.
(4) Mengurangkan kos kesihatan dan beban sosial
Produk tembakau menyumbang kepada kos kesihatan tahunan yang tinggi. Di peringkat global, kos rawatan penyakit berkaitan tembakau mencecah AS$1.4 trillion setahun.
Di Malaysia, kadar kematian akibat merokok adalah tinggi, dan perbelanjaan untuk merawat penyakit berkaitan tembakau boleh dikurangkan dengan mengurangkan penggunaan rokok.
(5) Strategi jangka panjang ke arah malaysia bebas rokok
Basar percukaian tembakau perlu diselaraskan dengan matlamat jangka panjang untuk mengurangkan kadar merokok kepada bawah lima peratus menjelang 2045 seperti yang digariskan dalam Pelan Strategik Nasional Kawalan Tembakau.
Peningkatan cukai yang berterusan, digabungkan dengan program kesedaran awam dan sokongan berhenti merokok, akan membantu Malaysia mencapai matlamat ini.
Lebih merisaukan, kenyataan Persatuan Kedai Kopi Petaling Jaya bahawa almari tertutup boleh menggalakkan penjualan rokok seludup perlu ditangani secara tegas oleh KKM bagi mengelakkan ia menjadi asas dalam sebarang pertimbangan dasar awam.
Kegagalan untuk membidas dakwaan ini dengan segera hanya memberi ruang kepada industri tembakau untuk terus memanjpulasi wacana awam demi kepentingan mereka.
Sehubungan itu, KKM perlu memperkukuh penguatkuasaan termasuk penguatkuasaan pendidikan di lapangan dan memastikan pelaksanaan larangan pameran benar-benar berkesan tanpa memberi ruang kepada kompromi yang boleh dieksploitasi oleh industri tembakau.
Pengasan terhadap penggunaan laci tertutup berbanding rak almari walaupun berpenutup gelangsar, serta penolakan segera terhadap pelbagai helah dan naratif industri tembakau, amat penting dalam memastikan kejayaan dasar kawalan tembakau negara.
MUHAMMAD SHA'ANI ABDULLAH ialah penyelaras Kawalan Tembakau / Inisiatif @SmokeFreeMY, Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.