Presiden Majlis Kuil Hindu dan Persatuan Hindu Malaysia (Mahima) N Sivakumar menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyekat satu halaman Facebook yang didakwa mengandungi komen berunsur perkauman berkaitan pembinaan kuil dan tokong di negara ini.
"Mengapa mereka (penulis dan pengulas dalam kumpulan itu) menyasarkan golongan minoriti?" soal Sivakumar ketika dihubungi Malaysiakini.
Berdasarkan semakan Malaysiakini, halaman Facebook bernama "Rumah Ibadat Haram Dibina Dimana Hari Ini?" memaparkan gambar, video dan lokasi kuil serta tokong kecil.
Salah seorang pengguna mengongsikan video daripada halaman lain yang menunjukkan sebuah tokong kecil di tepi jalan di Petaling Jaya, didakwa wujud sejak 2014. Sejumlah pengguna meninggalkan komen menggesa orang ramai membuat laporan terhadap struktur berkenaan.
Seorang pengguna turut mendakwa mereka yang membina kuil haram adalah penyokong Zionisme, manakala yang lain mengaitkan isu itu dengan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim susulan rusuhan di sebuah kuil di Selangor pada 2018.
Kumpulan itu setakat ini mempunyai 37,432 ahli. Catatan terawal di kumpulan tersebut dikesan pada 22 Mac.
Ketika dihubungi, MCMC memaklumkan pihaknya belum menerima sebarang aduan mengenai halaman Facebook itu.
Sementara itu, Sivakumar mengecam pentadbir halaman berkenaan kerana membesar-besarkan isu tersebut, sambil menegaskan bahawa tindakan memberi komen di laman sosial hanya akan mencetuskan tindak balas.
"Ia akhirnya akan turut menjadi isu agama," katanya lagi.
Isu berkaitan kuil tercetus dengan kontroversi Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di tanah milik syarikat swasta Kuala Lumpur, yang akan dipindahkan bagi memberi laluan kepada pembinaan sebuah masjid.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kuil tersebut dibina tanpa kebenaran dan perlu dikendalikan mengikut undang-undang dan pemindahannya perlu dilakukan dengan hormat.
Bagaimanapun, isu itu telah diselesaikan secara baik selepas jawatankuasa kuil mencapai persetujuan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenai pemindahan kuil.
Terdahulu, Pengerusi Bersama Malaysia Mosque for Al-Aqsa and Palestine (MM4AP), Ahmad Awang memberi peringatan agar mana-mana pihak tidak memainkan sentimen agama dengan menyamakan pertikaian berkenaan isu tersebut dengan rejim Zionis Israel yang merampas tanah di Gaza.