Seorang ulama kanan Malaysia memberi peringatan bahawa mainan sentimen agama yang kemudian dikaitkan pula dengan krisis di Gaza adalah sangat bahaya buat negara ini.
Pengerusi Bersama Muktamar Masjid Semalaysia untuk al-Aqsa dan Palestin (MM4AP), Ahmad Awang, berkata langkah memperalatkan agama untuk kepentingan politik sangat tidak wajar dan boleh mengancam keharmonian kaum
Menganggap pihak yang bertindak sebegitu adalah sesuatu yang dimaklumi, Ahmad berkata pendekatan sebegitu wajar dihentikan segera.
"Kita tahu ini semua permainan (politik).
"Tak kira siapa saja, apabila memainkan sentimen agama, maka ini adalah bahaya," katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Bekas Naib Presiden PAS yang kini menjadi Penasihat Umum Amanah itu ditemui selepas mengadakan kunjungan ke atas Ketua Biskop Kuala Lumpur, Julian Leow, yang menunjukkan solidariti kepada nasib penduduk Palesti yang ditekan rejim Israel.
Turut hadir bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.

Terdahulu, Ahmad ditaya mengenai usaha pihak tertentu yang dilihat cuba mencetuskan ketegangan di antara penganut Islam dan Hindu berhubung isu keberadaan kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur.
Ada pihak menyamakan pertikaian itu dengan tindakan ganas Zionis menjajah Gaza.
Untuk rekod, Malaysiakini melaporkan pihak pengurusan kuil berkenaan sudah bersetuju untuk berpindah ke lokasi lain selepas mereka berunding - dan mencapai persetujuan - dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur selaku pihak berkuasa tempatan.
Ada mahu rakyat berbalah
Kata Ahmad semua pihak wajar berusaha mewujudkan hubungan yang bai di sebalik latar belakang dan kepercayaan yang berbeza di negara ini.
Berhubung isu kuil berkenaan, Ahmad berkata, memang sudah ada rundingan dijalankan di antara kedua-dua pihak bagi mencari penyelesaian yang baik tanpa melibatkan politik.
"Saya pun orang politik tapi saya bukan orang yang suka memperalatkan agama," katanya.
Tegas Ahmad, semua agama mahukan kedamaian namun pada masa sama wujud pihak tertentu yang mahu orang ramai berbalah.
“Terutama apabila isu-isu agama dimainkan oleh parti politik yang ingin mencari kepentingan mereka tanpa memikirkan akibatnya yang membawa perpecahan dan permusuhan,” katanya.
Sementara itu mengulas mengenai pertemuannya dengan Leow, Ahmad berkata perkongsian seperti itu menggalakkan hubungan harmoni antara agama dan kaum di negara ini.
Justeru, kata Ahmad yang pernah memimpin Persatuan Ulama Malaysia itu, MM4AP akan mengadakan terus pertemuan dengan pemimpin gereja Katolik di negara ini.
"Lebih-lebih dalam dunia hari ini, ada parti-parti politik yang sangat-sangat suka memainkan isu-isu berkaitan hal agama, Muslim dan bukan Islam di negara kita," katanya.