Desas-desus mengenai rombakan kabinet kembali timbul selepas pemilihan DAP minggu lalu.
Bekas ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming berkata DAP akan berpeluang untuk menukar menteri dan timbalan menterinya pada Disember ini apabila tempoh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz sebagai senator tamat.
Ia walaupun Setiausaha Agung DAP Anthony Loke telah menegaskan bahawa keputusan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu tidak akan memberi kesan ke atas kedudukan menteri atau timbalan menteri DAP.
Ketika ditanya mengenai perkara itu dalam satu temu bual dalam podcast berbahasa Cina Malaysiakini, Ong berkata jika DAP meneruskan tema “perubahan generasi” seperti dalam pemilihan parti, parti itu mungkin akan menggantikan M Kulasegaran dan Lim Hui Ying.
Kulasegaran yang merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), memilih untuk tidak bertanding dalam pemilihan lalu bagi memberi laluan kepada pemimpin muda.
Dia sebelum ini berkhidmat sebagai Menteri Sumber Manusia dalam pentadbiran PH di bawah bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad dari Mei 2018 sehingga kejatuhan kerajaan persekutuan pada Februari 2020.
Sementara itu, Lim - yang merupakan Timbalan Menteri Kewangan dan ahli Parlimen Tanjong - gagal mempertahankan kedudukannya dalam CEC semasa pemilihan parti pada 16 Mac lalu.

“Selepas pemilihan parti, jelas bahawa jika Hui Ying ingin terus kekal sebagai ahli Parlimen, timbalan menteri atau bahkan naik ke jawatan menteri, dia mesti membuktikan kepada pemimpin dan ahli parti serta orang ramai yang dia ada keupayaan untuk melakukannya.
“…Dia masih belum benar-benar membuktikan keupayaannya kepada orang ramai,” kata Ong dalam podcast yang disiarkan Sabtu lalu di YouTube, Spotify, dan Apple Podcasts.
Mengulas lanjut, Ong berkata bahawa bekas timbalan menteri, dia memahami piawaian yang diharapkan daripada menteri dan timbalan menteri DAP.
“Kami perlu mengekalkan piawaian tertentu. Jadi, jika ada pemimpin tertentu yang masih belum mencapai tahap itu – dan mereka semua tahu tentangnya – mereka yang berada di Parlimen tahu siapa yang menunjukkan prestasi dan siapa yang tidak,” kata Ong.
PKR juga akan mengadakan pemilihan parti pada Mei ini.
Sekiranya berlaku perubahan dalam struktur kepimpinan PKR selepas itu, parti tersebut juga mungkin akan menggantikan beberapa menteri dan timbalan menterinya.
Dalam satu temu bual di radio BFM pada 3 Mac lalu, Zafrul mengesahkan dia akan meletakkan jawatan sebagai menteri pada pertengahan Disember dan menolak sebarang kemungkinan pilihan raya kecil bagi membolehkannya kembali ke Parlimen dan kabinet.

“Saya tidak akan menerima tawaran sedemikian. Rakyat tidak mahu pilihan raya kecil hanya untuk seseorang seperti saya pada tahap ini.
“Saya bukan ahli politik kanan atau seseorang yang berpengaruh besar dalam mana-mana parti,” katanya, sambil menambah pilihan raya kecil akan menggunakan sumber kerajaan yang besar dan memakan masa.
Zafrul berkata dia lebih rela menyumbang dalam cara lain untuk tempoh dua tahun akan datang dan menunggu pilihan raya umum seterusnya.
Zafrul pertama kali dilantik sebagai senator di bawah pentadbiran PN pada 10 Mac 2020 dan memulakan penggal keduanya pada 3 Disember 2022.
Seorang senator boleh berkhidmat tidak lebih dua penggal, dengan setiap penggal berlangsung selama tiga tahun. Ia menjadikan tempoh tersebut tidak lebih enam tahun.
Pada 12 Mac lalu, Zafrul bertemu dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi untuk membincangkan niatnya meninggalkan parti itu bagi menyertai PKR.
Namun, sehari kemudian, dia berkata fokusnya buat masa ini adalah tugasnya, bukan lagi untuk menyertai PKR.