ADS
mk-logo
Berita
Hasrat laksana wakaf hak beragama pemilik tanah – peguam
Diterbitkan:  Mar 22, 2025 5:02 PM
Dikemaskini: 9:10 AM

Hasrat murni untuk melaksanakan wakaf bagi membina masjid merupakan hak beragama pemilik tanah yang menempatkan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, tegas Penasihat Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar.

"Mengenai isu wakaf yang diniatkan oleh pengasas syarikat pemilik tanah tersebut, apabila instrumen wakaf telah lengkap, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan sebagai pemegang Amanah harta wakaf di Wilayah Persekutuan akan mengambil alih pemilikan wakaf tersebut.

"Buat masa ini instrumen wakaf tersebut masih belum disempurnakan.

"Hasrat murni untuk melaksanakan wakaf adalah hak beragama pengasas syarikat pemilik tanah tersebut dan mesti dihormati," katanya dalam kenyataan.

ADS

Zainul berkata proses rundingan mengenai pemindahan kuil berkenaan sebelum ini berjalan dengan baik tetapi menjadi kontroversi disebabkan beberapa individu lain.

"Berbalik kepada isu pemindahan kuil tersebut, biarlah rundingan yang sedang berjalan diteruskan. Jangan ganggu rundingan tersebut," katanya.

Pada Khamis lalu, proses perbincangan mengenai pemindahan kuil berkenaan dilapor berjalan lancar di antara pihak pengurusan, syarikat dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Dr Maimunah Mohd Sharif berkata, DBKL menjadi pemudah cara dalam memastikan urusan perpindahan itu yang terletak di atas tanah swasta ke lokasi baru dapat dilaksanakan dengan baik.

Jakel Trading selaku pemilik memaklumkan telah memperoleh Arahan Pembangunan (DO) dan Kelulusan Pelan Bangunan daripada DBKL serta memberi tempoh 30 hari kepada jawatankuasa kuil untuk mengosongkan tapak bagi memulakan projek dalam masa dua bulan.

Bagaimanapun beberapa pihak membantah pemindahan kuil tersebut, sebaliknya mencadangkan "tapak alternatif" untuk pembinaan masjid berkenaan.

Pengarah eksekutif Lawyers for Liberty, Zaid Malek, berkata masjid boleh dibina di dua plot tanah yang berdekatan berbanding memindahkan kuil yang dikatakan berusia 130 tahun itu.

Mengulas lanjut, Zainul merujuk kepada Kanun Tanah Negara yang mengamalkan Sistem Torrens dari Australia, yang memberikan hak kukuh kepada pemilik berdaftar terhadap tanah yang didaftarkan atas namanya.

Oleh itu, katanya, sebarang pihak lain yang menceroboh tanpa keizinan pemilik berdaftar boleh didakwa mengikut peruntukan undang-undang.

Zainul turut menjelaskan tindakan DBKL secara senyap-senyap menjual tanah tersebut kepada pihak ketiga tidak sepatutnya dibangkitkan kerana Dewan Bandaraya itu mempunyai kuasa untuk menjual pegangannya kepada mana-mana pihak tanpa perlu merujuk kepada sesiapa.

“Malah penjualan tersebut dibuat dengan niat yang suci dan balasan yang bernilai – ‘bona fide purchaser for valuable consideration’. Oleh itu, pembelian tersebut tidak boleh dibatalkan,” tambahnya.

Dia turut memuji sikap pemilik berdaftar tanah berkenaan yang memberi akujanji tidak akan merobohkan kuil tersebut selagi proses perpindahan belum dimuktamadkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS