ADS
Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu kuil: Hassan kemuka dua cadangan
Diterbitkan:  Mar 23, 2025 10:10 AM
Dikemaskini: 2:10 AM

Satu lagi cadangan agar Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman dikekalkan di tapak sedia ada dan masjid yang dirancang itu dibina tidak jauh dari situ.

Kali ini cadangan berkenaan datang daripada ahli parlimen dalam parti Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, sendiri iaitu Hassan Abdul Karim.

Ia adalah satu daripada dua saranan diberikan Ahli Parlimen Pasir Gudang tersebut sebagai penyelesaian kemelut mengenai keberadaan kuil Hindu yang terletak di Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur.

Hassan menyatakan cadangan tersebut dalam sepucuk surat terbuka yang ditujukannya kepada Anwar hari ini.

Sebelum ini cadangan agar kuil dan masjid yang dirancang itu dibina bersebalahan dikemukakan oleh Parti Sosialis Malaysia.

ADS

Berikut adalah kandungan surat Hassan:

Kepada YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim
Perdana Menteri Malaysia,
Putrajaya.

23 Mac 2025

ISU KUIL DI JALAN MASJID INDIA, KUALA LUMPUR

Semoga YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim berada dalam keadaan sihat walafiat.

Saya menulis surat terbuka ini sebagai seorang ahli parlimen Muslim dari PKR (PH) yang menjadi penyokong kerajaan Madani, dan secara peribadi penyokong Dato Seri (DSAI) sejak sekian lama.

Demi prinsip kerajaan Madani yang bersumberkan falsafah Islam berteraskan keadilan dan keihsanan, saya menyeru DSAI supaya menyelesaikan isu Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman dengan adil dan bijaksana. Saya percaya YAB berkeupayaan melakukan itu.

Saya pernah menyaksikan sendiri di sebuah universiti terkemuka di Doha, Qatar pada 2019 apabila DSAI sebagai seorang Muslim demokrat berucap mengenai Renaissance dari perspektif Islam yang luhur dan progresif.

Maka kini di tanah air kita sendiri pada 2025, ketika menjadi seorang perdana menteri, DSAI berpeluang untuk menunjukkan jalan penyelesaian kepada masalah berkaitan kuil yang sedia ada dan sebuah masjid yang akan dibina itu.

Sebelum pergi lebih jauh, ada eloknya kita meneliti Fasal 1 Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang menyatakan bahawa Islam ialah agama bagi persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian persekutuan.

ADS

Masyarakat Hindu di Malaysia – seperti penganut agama lain – memang menerima bahawa kedudukan istimewa Islam di negara ini. Mereka hanya ingin secara aman mengamalkan agama tanpa diganggu gugat.

Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman itu telah lama melebihi 100 tahun iaitu sejak Semenanjung Tanah Melayu merdeka. Negara kita masih dijajah Inggeris ketika itu.

Kuil tersebut dibina dengan izin pemerintah ketika itu sebagai tempat beribadat kaum buruh India beragama Hindu yang dibawa masuk oleh Inggeris ke negara ini, termasuk ke Kuala Lumpur, untuk membina jalan raya, landasan kereta api dan infrastruktur lain yang sesetengahnya wujud sampai sekarang.

Kuil tersebut telah berperanan secara aman untuk kepentingan masyarakat Hindu di kawasan berkenaan untuk menjalani amalan agama mereka secara aman damai hinggalah sekarang.

Jadi dengan rendah hati saya menyeru kepada YAB supaya mengambil jalan penyelesaian yang adil dan bijaksana berasaskan prinsip Madani yang kini diterima baik oleh masyarakat pelbagai agama di Malaysia.

Ada dua perkara yang wajar dilakukan. Pertama janganlah kuil itu dirobohkan. Sebagai seorang Muslim saya menyeru DSAI – sebagai pemimpin yang dihormati di dalam negara dan di dunia – agar kita menunjukkan budi serta adab seorang Muslim yang diseru agama untuk menghormati hak rakyat beragama Hindu di Malaysia ini.

Jalan penyelesaian yang kedua ialah DSAI sebagai perdana menteri mengemukakan cadangan supaya masjid baru yang hendak dibina itu kita sama-sama dirikan di atas tapak bersebelahan atau berdekatan kuil tersebut.

Ini bermakna masjid dapat dibina, dan kuil yang ada di situ kekal di atas tapak sedia.

Jika jalan penyelesaian seperti ini dapat dicapai, maka banyak kebaikan akan diperolehi. Antaranya, tiada hati dan perasaan mana-mana kaum dan agama terluka. Selain itu perpecahan kaum dan agama juga dapat dielakkan.

Tidak kurang pentingnya dalam Ramadan yang mulia ini, selaku perdana menteri bagi semua rakyat Malaysia, DSAI dapat menunjukkan contoh sebagai pemimpin perpaduan yang adil dan penuh ihsan.

Terima kasih


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS