Isu berkenaan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Kuala Lumpur mendapat perhatian seorang bekas menteri dan aktivis, yang tampil memberikan perspektif sejarah sebagai latar penting dalam perbincangan awam yang semakin hangat.
Presiden Parti Kemajuan Malaysia (MAP), P Waytha Moorthy menolak dakwaan ribuan kuil Hindu yang telah dirobohkan selama ini dibina secara haram di atas tanah milik swasta sebagai satu “penyederhanaan berlebihan yang mengabaikan kebenaran sejarah”.
Melalui sepucuk surat kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, bekas pemimpin Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) itu menjelaskan ketika zaman penjajahan British, sistem peruntukan tanah seperti hari ini belum wujud.
Menurutnya, pentadbiran British yang bertindak sebagai penasihat kepada Sultan Selangor secara jelas membenarkan pembinaan kuil Hindu dalam usaha menarik masuk tenaga buruh India.
“Konteks sejarah ini penting untuk memahami kesahihan kuil-kuil ini,” kata Waytha Moorthy.

Golongan buruh ini, jelasnya memainkan peranan besar dalam pembangunan sektor perladangan, pembinaan landasan kereta api, jalan raya dan infrastruktur di Tanah Melayu.
Terdahulu, peguam yang mewakili jawatankuasa Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman mendakwa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pernah mengarahkan kuil yang asalnya dibina pada 1893 itu berpindah beberapa meter ke lokasi sedia ada.
Namun, pada 2014 tanah tersebut dikatakan telah dijual kepada Jakel Trading Sdn Bhd tanpa pengetahuan pihak kuil, untuk pembangunan sebuah masjid.
Dalam perkembangan terkini, DBKL dan Jakel memberi jaminan tiada tindakan perobohan akan dilakukan selagi kuil belum dipindahkan.

Mengulas lanjut, Waytha Moorthy berkata dia merujuk kepada minit rasmi dalam Laporan Pentadbiran Kerajaan Selangor pada penghujung 1800-an dan awal 1900-an, yang menurutnya merupakan “bukti yang tidak boleh dipertikaikan” tentang penglibatan aktif kerajaan kolonial British – yang bertindak di bawah kuasa Raja-Raja Melayu – dalam menggalakkan pembinaan kuil Hindu serta penempatan buruh India.
Katanya lagi, kerajaan British ketika itu menjanjikan pemilikan sekurang-kurangnya lima ekar tanah kepada setiap keluarga buruh India selepas dua tahun berkhidmat, dengan tambahan tanah bagi setiap ahli isi rumah lelaki. Namun janji tersebut tidak pernah dilaksanakan.
Akibatnya, kata Waytha ia “mengakibatkan realiti tragis bahawa masyarakat India Malaysia kekal sebagai salah satu kumpulan etnik paling tidak mempunyai tanah di dunia hari ini.”
Waytha turut mengimbas kembali peristiwa pada 2007 ketika dia bersama tiga lagi peguam ditahan kerana mewakili penduduk Kampung Rimba Jaya, Padang Jawa. Dalam insiden tersebut, lebih 200 rumah, sebuah kuil berusia 100 tahun dan sebuah surau dirobohkan walaupun disaksikan oleh presiden MIC ketika itu, mendiang S Samy Vellu.

Dalam suratnya kepada Anwar, Waytha Moorthy menyatakan kebergantungan berterusan kerajaan kepada maklumat yang salah, alasan teknikal perundangan, serta naratif yang tidak tepat untuk mewajarkan perobohan kuil merupakan satu bentuk penghinaan terhadap masyarakat Hindu dan “pengkhianatan terhadap prinsip keterangkuman dan keadilan Malaysia.”
“Ini tidak boleh dibiarkan dalam negara yang berbangga dengan warisan yang pelbagai dan komitmen terhadap keadilan.
“Sebagai pemimpin yang telah berikrar untuk membawa pembaharuan yang tulen, saya menggesa anda untuk menunjukkan komitmen anda terhadap keadilan dengan menangani isu yang telah lama berlarutan ini dengan jujur dan segera,” tegasnya.
“Apabila setiap komuniti berasa dihargai dan dihormati, ia mengurangkan ketegangan dan menggalakkan semangat kekitaan bersama.”

“Dengan menjunjung prinsip ini, Malaysia boleh terus berkembang maju sebagai model perpaduan dalam kepelbagaian, di mana rakyat dari semua latar belakang hidup bersama dalam keamanan dan kerjasama,” kata bekas menteri perpaduan negara dalam kerajaan PH selepas pilihan raya umum 2018 itu.
Sementara itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam menggesa agar semua pihak tidak membangkitkan sentimen keagamaan dan membenarkan rundingan diteruskan. Dia turut menyatakan hasrat untuk melancarkan pembinaan masjid tersebut minggu hadapan.
Anwar dalam kenyataannya menyebut kuil berkenaan dibina secara tidak sah di atas tanah tersebut.
Namun katanya, pemilik tanah—Jakel Trading Sdn Bhd—telah menawarkan bantuan demi menjaga keharmonian manakala DBKL pula sedang berusaha mencari lokasi alternatif untuk menempatkan semula kuil itu.