ADS
mk-logo
Berita

PANDUANKINI | Cadangan membina sebuah masjid di atas tanah persendirian yang menjadi tapak sebuah kuil Hindu berusia lebih satu abad telah mencetuskan tindakan segera daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selaku pihak berkuasa tempatan.

Penyokong Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman mula menyuarakan kebimbangan susulan laporan tentang majlis pecah tanah yang dikatakan akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 27 Mac ini di tapak kuil tersebut.

Panduankini meneliti secara ringkas sejarah kuil dan perkembangan terkini isu tersebut.

Di mana lokasi kuil ini?

ADS

Kuil tersebut terletak di Lot 328 Seksyen 40, Jalan Bunus Enam, berhampiran Jalan Masjid India.

Struktur asal kuil, yang dibina pada 1893, pada mulanya berada di sebidang tanah lain yang berdekatan dan kekal di situ sehingga 2008.

Pujaan utama kuil tersebut, Dewi Sri Pathra Kaliamma, memiliki ketinggian lebih enam kaki.

Awalnya dilaporkan bahawa kuil itu dipindahkan hanya dalam jarak yang singkat pada 2008 atas permintaan DBKL.

ADS

Bagaimanapun, kemudian pihak terbabit menegaskan bahawa kuil berkenaan tidak pernah dipindahkan sebaliknya hanya sebahagian binaan - terutamanya dapur dan tempat tinggal sami - dirobohkan untuk memberi laluan kepada kerja-kerja pembesaran jalan.

Upacara pembersihan ritual (kumbhabhishekam) kemudiannya dijalankan.

Apakah status terkini tanah?

Menurut dokumen carian tanah dari Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, Lot 328 Seksyen 40 tersebut hanya ditetapkan sebagai tanah untuk kegunaan komersial.

Tanah pegangan bebas berkeluasan 1,128 meter persegi ini juga tidak digazetkan untuk kegunaan lain, termasuk untuk pembinaan rumah ibadat.

Siapa pemilik tanah ini?

Walaupun jawatankuasa Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman mendakwa tanah ini sebagai hak mereka, secara undang-undang mereka tidak memiliki sebarang hak ke atas tanah tersebut.

Malaysiakini melihat permohonan bertarikh 15 November 2012, yang ditandatangani jawatankuasa kuil dan dihantar kepada Pentadbir Tanah Wilayah Persekutuan di bawah Seksyen 14 Kanun Tanah Negara untuk menggazetkan tanah itu sebagai tanah rizab bagi rumah ibadat bukan Islam.

ADS

Menurut dokumen carian tanah, DBKL mendaftarkan pemilikan tanah tersebut pada 19 Julai 2010.

Dokumen sama menunjukkan DBKL pada 23 Oktober 2014 memindahkan pemilikan tanah tersebut kepada Jakel Trading Sdn Bhd, pemilik Jakel Mall yang terletak bertentangan dengan kuil berkenaan.

Namun, proses penjualan tanah oleh DBKL kepada Jakel masih tidak jelas.

Bagaimana masalah ini timbul?

Pengasas bersama Lawyers for Liberty (LFL) N Surendran yang mewakili jawatankuasa kuil mendakwa penjualan tanah tersebut berlaku tanpa pengetahuan mereka, sehinggalah dua tahun kemudian pada 2016.

Malaysiakini melihat sepucuk surat daripada DBKL bertarikh 25 Mac 2016 yang memaklumkan jawatankuasa kuil bahawa satu perjanjian jual beli telah ditandatangani dengan Jakel Trading pada 12 Mei 2014.

Setelah mengetahui tentang penjualan itu, jawatankuasa kuil memulakan rundingan dengan beberapa pemimpin India dalam kerajaan termasuk bekas menteri merangkap Timbalan Presiden MIC, M Saravana serta bekas timbalan menteri Wilayah Persekutuan Loga Bala Mohan, untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang status permohonan mereka bagi merizabkan tanah berkenaan.

Usaha rundingan mereka melibatkan beberapa pentadbiran kerajaan termasuk kerajaan semasa melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, pada Jun dan Disember tahun lalu.

Namun, status permohonan ini masih tidak jelas sehingga kini.

Apa lagi berlaku tahun lalu?

Menurut dokumen yang dilihat oleh Malaysiakini, Jakel Trading pada 21 Mac tahun lalu mengeluarkan notis kepada jawatankuasa kuil untuk memaklumkan syarikat itu telah mendapat Arahan Pembangunan (DO) dan Kelulusan Pelan Bangunan daripada DBKL.

Jakel Trading menyatakan rancangan syarikat itu untuk memulakan projek pembangunan dalam tempoh dua bulan dan jawatankuasa kuil diberi masa 30 hari untuk mengosongkan tanah tersebut.

Namun, jawatankuasa kuil bertegas mahu kekal di lokasi sekarang.

Pada Ogos tahun lalu, melalui bantuan beberapa pihak termasuk Ahli Parlimen Batu P Prabakaran, jawatankuasa kuil mengadakan lawatan tapak ke beberapa lokasi alternatif bersama pegawai Pejabat Tanah Wilayah Persekutuan.

Di mana tapak alternatif tersebut?

Malaysiakini difahamkan lawatan tapak melibatkan tiga lokasi alternatif iaitu Lot 316, Lorong Tunku Abdul Rahman; sebidang tanah dikenali PT 5005 "bersebelahan Kedai Emas Joyalukkas"; serta 73, Lorong Lai Tet Loke, Sg Bunus.

DBKL pada 20 Mac tahun ini berkata pihaknya sudah mengenal pasti satu lokasi baru bagi perpindahan kuil itu tetapi tidak menyebut lokasi secara khusus.

Pada sidang akhbar berasingan, Ketua Perundangan dan Komunikasi Korporat Jakel, Aiman Dazuki berkata DBKL mencadangkan dua atau tiga lokasi tetapi semuanya "ditolak" oleh jawatankuasa kuil.

Pada hari sama, naib pengerusi jawatankuasa kuil, Raj Mohan Pillai pada sidang akhbar bersama LFL berkata lokasi Sungai Bunus tidak sesuai kerana berisiko banjir.

Pengarah eksekutif LFL, Zaid Malek, serta bekas presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan pula mencadangkan supaya kuil kekal di lokasi sekarang manakala masjid yang dicadangkan boleh dibina di dua lot tanah bersebelahan yang turut dimiliki Jakel.

Apa kritikan terhadap struktur kuil sekarang?

Sebahagian besar bantahan dalam komen awam terhadap laporan media berhubung insiden ini mempersoalkan kewujudan kuil di atas tanah milik pihak lain, iaitu DBKL dan kemudiannya Jakel.

Pengkritik mendakwa jawatankuasa kuil dan penyokong mereka, termasuk LFL tiada hak menentukan tindakan pemilik tanah sebenar.

Mereka turut mempersoalkan kenapa jawatankuasa kuil tidak pernah mengumpul dana bagi membeli tanah tersebut daripada DBKL, sebaliknya terus kekal wujud secara percuma di lokasi atau meminta pampasan perpindahan.

Terdapat juga dakwaan lebih luas mengenai isu "pencerobohan" dalam pembinaan kuil-kuil atau tempat ibadat Hindu secara umum.

Adakah kuil ini akan dirobohkan?

Setakat 20 Mac lalu, Jakel dan DBKL mengesahkan tiada tindakan roboh secara paksa akan berlaku terhadap rumah ibadat Hindu ini.

Sebarang kerja pembinaan hanya akan bermula setelah isu ini diselesaikan melalui perpindahan secara persetujuan bersama jawatankuasa kuil.

Jakel menegaskan syarikat itu telah berdialog dengan jawatankuasa kuil sejak 10 tahun lalu selepas tanah itu dikenal pasti untuk memenuhi hasrat pengasas Jakel, Mohamed Jakel Ahmadbagi mendermakan sebuah masjid kepada komuniti tempatan.

Jakel juga menjelaskan majlis pecah tanah pada 27 Mac dengan kehadiran perdana menteri adalah acara simbolik dan pembinaan sebenar belum akan bermula sebelum perpindahan dipersetujui.

Menurut Menteri Pembangunan dan Koperasi R Ramanan, Anwar mahu isu ini diselesaikan secara baik.

Pemimpin lain seperti Menteri Digital Gobind Singh Deo dan Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun turut memberi jaminan kuil itu tidak akan diroboh segera.

Namun, perhatian tertumpu kepada Anwar, jika dia akan hadir pada majlis pecah tanah masjid pada 27 Mac, atau sama ada majlis tersebut tetap berlangsung seperti dirancang atau tidak.

[Baca laporan asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS