Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengkritik Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kerana didakwa mengamalkan pilih kasih dalam tindakannya terhadap individu yang disyaki melakukan jenayah.
Mahathir membuat perbandingan antara penahanan bekas presiden Filipina Rodrigo Duterte oleh ICC dengan ketiadaan tindakan terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.
"(Penahanan Duterte) memang mengikut undang-undang antarabangsa, tetapi sudah tentu ia hanya terpakai apabila seseorang itu tidak cukup berkuasa untuk melawan atau menolak kuasa ICC.
"Netanyahu juga seorang penjenayah dan didapati telah melakukan jenayah lebih serius sehingga menyebabkan ribuan nyawa terbunuh.

"Namun, ICC tidak mampu berbuat apa-apa dan hanya melihat jenayah terus berlaku berulang kali," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa di Putrajaya malam tadi.
Walaupun ICC telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu pada November tahun lalu atas dakwaan jenayah perang di wilayah Palestin, beliau dilaporkan dapat melawat Amerika Syarikat bulan lalu.
Netanyahu juga dikatakan merancang melawat Hungary bulan depan, lawatan pertamanya ke sebuah negara Eropah sejak ICC mengeluarkan waran tangkap terhadapnya dan bekas menteri pertahanan Israel Yoav Gallant.
Sebaliknya, Duterte (gambar bawah) ditahan pada 11 Mac oleh pihak berkuasa Filipina di Manila berdasarkan waran tangkap ICC.

Dia kini ditahan di Pusat Tahanan ICC di The Hague, Belanda dan didakwa melakukan jenayah terhadap kemanusiaan berkaitan kempen perangnya ke atas dadah.
Sebelum ini Senat Filipina dilapor akan menyiasat proses penyerahan Duterte kepada ICC bagi memastikan prosedur undang-undang dipatuhi, susulan kebimbangan berhubung isu kesahihan dan kemungkinan campur tangan asing.
Semalam, pejabat Presiden Filipina, Malacanang menolak dakwaan negara itu menyerahkan kedaulatan negara apabila Duterte diserahkan kepada ICC.
Setiausaha Rendah Pejabat Komunikasi Presiden merangkap Pegawai Akhbar Istana, Claire Castro menjelaskan kerajaan bertindak berdasarkan Akta Republik 9851, yang memberi kuasa kepada pihak berkuasa untuk menyerah atau mengekstradisi individu tertuduh di Filipina kepada mahkamah antarabangsa yang berkenaan.
[Baca berita asal]