ADS
Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas pemimpin Pemuda MCA letak jawatan, sertai Bersatu
Diterbitkan:  Mar 24, 2025 10:27 PM
Dikemaskini: Mar 25, 2025 12:16 AM
4

Bekas Setiausaha Agung Pemuda MCA, Leong Kim Soon, mengumumkan perletakan jawatannya hari ini, sebelum dilaporkan mengetuai sekumpulan besar penyokong menyerahkan borang keahlian mereka kepada Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin.

Pengumuman yang dibuat di Facebook hari ini ringkas sahaja berbunyi: “Saya secara rasmi mengumumkan perletakan jawatan dari MCA, berkuat kuasa hari ini.”

Menurut laporan Sinchew Daily, Leong kemudian mengetuai penyokongnya menyerahkan lebih 100 borang keahlian kepada Hamzah semasa majlis berbuka puasa Bersatu di Janda Baik, Bentong.

Majlis tersebut turut dihadiri beberapa pemimpin MCA tempatan yang dilaporkan memaklumkan kepada media bahawa mereka hadir untuk menyokong keputusan Leong menyertai Bersatu.

Leong sebelum ini merupakan setiausaha politik kepada bekas pemimpin MCA, Liow Tiong Lai, semasa Liow memegang jawatan sebagai presiden parti dan menteri kabinet.

ADS

Dia juga pernah memegang beberapa jawatan dalam parti, termasuk Setiausaha Agung Pemuda MCA, Ketua Pemuda MCA Pahang dan jurucakap MCA.

Sementara itu, Hamzah dilaporkan mengumumkan bahawa Leong akan dilantik sebagai pengerusi sayap ahli bersekutu Bersatu di Bentong dan juga di Pahang, serta menggalakkan ahli politik itu membawa lebih ramai ahli baru.

Hamzah turut menegaskan pengalaman politik Leong yang luas, serta statusnya sebagai anak jati Bentong akan memberi kelebihan kepada parti itu.

“Saya yakin Bersatu boleh menang kerusi parlimen Bentong pada pilihan raya akan datang, malah mampu memberi saingan hebat di Pahang,” katanya seperti yang dilaporkan.

Semalam, Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon, memberi amaran bahawa mana-mana ahli MCA yang menyertai parti lain akan dipecat serta-merta, walaupun tanpa menghantar surat peletakan jawatan.

Penyertaan Leong ke dalam Bersatu merupakan yang terbaru dalam siri penghijrahan ahli-ahli MCA kebelakangan ini, termasuk bekas Ketua Pemuda MCA Sembrong, Eugene Lim Yew Chin, pada Disember tahun lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
4
ADS
ADS
ADS