Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM), Jontih Enggihon telah memfailkan pernyataan pembelaan dan afidavit bantahannya dengan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, kata peguamnya Chin Teck Ming.
“Kenyataan pembelaan setebal 33 muka surat dan afidavit bantahan 40 muka surat, bersama 395 muka surat bukti eksibit, berjumlah 468 muka surat, telah dikemukakan pada 17 Mac,” katanya kepada Malaysiakini.
Jontih memberitahu Malaysiakini bahawa dia bersedia untuk mendedahkan semua dakwaan salah laku berkaitan kes ini dan Ketua Menteri Hajiji Noor.

"Biarkan rakyat Sabah tahu perkara sebenar tentang apa yang berlaku. Saya harap dapat keadilan di mahkamah," katanya.
SMM dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan negeri Sabah yang bertanggungjawab menguruskan kelulusan lesen carigali mineral. Hajiji adalah pengerusi SMM.
Dalam pernyataan tuntutannya yang difailkan pada Januari, SMM mendakwa Jontih telah berkomplot untuk memanipulasi pengeluaran lesen mencari gali dengan pihak ketiga.
SMM seterusnya mendakwa Jontih bersubahat dengan individu tersebut dan beberapa individu lain yang tidak dikenali untuk mencipta dan menerbitkan dua video dan dua artikel yang disertakan, yang disiarkan oleh Malaysiakini pada 12 dan 14 Nov tahun lalu.

Menurut SMM, video tersebut mengandungi maklumat peribadi dan sulit mengenai pemohon dan pemegang lesen, serta perbincangan dan prosedur dalaman.
Syarikat itu menegaskan bahawa Jontih bukan sahaja mendedahkan maklumat sensitif tersebut tetapi juga mengaitkannya dengan kenyataan palsu yang membayangkan ketidakwajaran dan salah laku SMM, dengan mengemukakan dakwaan itu sebagai fakta.
Sebelum ini, peguam SMM dan pejabat Hajiji telah berulang kali memberi amaran kepada Malaysiakini bahawa melaporkan perkara yang berkaitan dengan kes itu atau skandal rasuah yang dikaitkan dengan pengeluaran lesen carigali mineral akan menjadi pelanggaran injunksi ex-parte.
Firma itu memberi amaran bahawa prosiding penghinaan boleh dimulakan terhadap portal berita ini.
Ancaman yang sama dibangkitkan dalam surat daripada Pejabat Ketua Menteri bertarikh 10 Mac apabila Malaysiakini menghubungi mereka untuk mengulas video yang membabitkan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Kadzim Yahya.

Bagaimanapun, Free Malaysia Today telah menerbitkan pernyataan pembelaan Jontih sepenuhnya, yang membuat tuduhan serius terhadap Hajiji.
Sejak November, Malaysiakini telah mendedahkan sembilan video dan pelbagai mesej WhatsApp.
Video dan mesej itu didedahkan oleh seorang ahli perniagaan yang mendakwa dia merasuah beberapa Adun sebagai pertukaran untuk mendapatkan lesen carigali mineral.
Hajiji telah mendakwa bahawa ia adalah satu percubaan untuk menjejaskan pentadbirannya.