Pengerusi Wanita MCA Sabah Pamela Yong mengkritik hukuman denda RM6,000 yang dijatuhkan ke atas seorang lelaki atas kesalahan mengambil gambar dan video bogel anak tiri perempuannya yang berusia 15 tahun.
“Ia adalah satu penghinaan terhadap keadilan dan jika tidak, satu jenaka,” katanya berhubung keputusan yang dibuat Mahkamah Sesyen Muar.
Yong berkata hukuman itu tidak mencerminkan keseriusan jenayah berkenaan, selain gagal menyediakan aspek pencegahan, pemulihan atau perlindungan kepada mangsa.
“Bagaimana hukuman ini dapat menghalang lelaki itu daripada mengulangi perbuatannya, terutama apabila dia tetap ada akses kepada kanak-kanak tersebut?
“Lebih buruk, apa yang dapat menghalangnya daripada terus mengeksploitasi (anak tirinya)? Terutama sebagai cara untuk mendapatkan kembali wang yang telah dibayar untuk denda atau tindakan balas terhadap mangsa yang melaporkannya kepada pihak berkuasa?
"Undang-undang wujud untuk melindungi golongan lemah, terutama kanak-kanak, daripada mereka yang mengambil kesempatan ke atas mereka. Apabila hukuman yang dikenakan tidak setimpal, ia memberi keberanian kepada pelaku dan gagal membela mangsa," kata Yong lagi.
Semalam, seorang lelaki berusia 56 tahun mengaku bersalah selepas didakwa memiliki 18 rakaman video dan gambar anak tirinya ketika mandi.
Dia didakwa di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun, denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Yong berkata jenayah seperti itu memerlukan hukuman yang lebih berat bagi memastikan pelaku bertanggungjawab serta sebagai peringatan keras kepada orang lain.
Selain itu, dia berkata hukuman juga harus berperanan mendidik masyarakat tentang betapa seriusnya kesalahan sebegitu.
"Keadilan mesti lebih daripada sekadar token – ia harus melindungi, menghukum, dan mencegah," katanya lagi.
Yong menggesa pihak berkuasa berkaitan untuk menyemak semula kes tersebut dan mempertimbangkan hukuman yang lebih berat, termasuk penjara serta pemasukan dalam daftar pesalah jenayah seksual.
Dia juga menyeru agar langkah perlindungan yang menyeluruh diambil bagi melindungi mangsa dan memastikan keselamatannya, termasuk menghadkan akses pelaku terhadapnya serta menyediakan sokongan dan kaunseling yang diperlukan.